Kategori Ketua Pemuda

“Memacu Generasi, Melakar Transformasi” – Khairy

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Yang Maha Agung lagi Maha Penyayang.  Selawat dan salam ke atas Junjungan Terpuji, Penghulu segala Nabi, penyampai risalah suci.  Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafakkan, kerana dengan iradat, rahmat dan izin-Nya kita semua dapat berkumpul di Dewan Tun Hussein Onn di pagi yang penuh barakah ini bagi melunaskan urusan Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda.

Hari ini kita bersidang bagi menilai dan membahas bukan sahaja pencapaian kita dan parti kita, bahkan hala tuju dan garis panduan perjuangan seterusnya.  Perkara ini selari dengan firman Allah SWT di dalam Surah As-Syura ayat 38:

 وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَہُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ

Yang bermaksud: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya”.

Perhimpunan kali ini sangat penting dan besar ertinya buat kita semua.  Suka diingatkan bahawa perhimpunan ini, berkemungkinan besar, yang terakhir sebelum kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).

Inilah masa dan ruang untuk kita merapatkan ukhwah dan membina kekuatan sayap sebagai bekalan perang.  Inilah masa dan ruang untuk kita mengukuhkan azam, menaman tekad serta menambah baik perancangan bagi memastikan orang muda akan terus bersama-sama kita.

Para perwakilan sekalian,

Dewasa ini, konsep perubahan atau “change” merupakan mantera yang acapkali disebut. Tetapi kita perlu sedar, perubahan berlaku dalam pelbagai bentuk dan tahap.  Ada perubahan yang kecil dan lazim.  Ada pula perubahan yang lebih besar dan menyeluruh – perubahan yang datang sekali dalam beberapa generasi.

Pada hemat saya, inilah bentuk perubahan yang sedang kita saksikan.  Berdasarkan lipatan sejarah pembinaan tamadun manusia, terdapat beberapa detik yang merakam perubahan yang didasari oleh peralihan generasi.

Bagi saya, peralihan generasi berlaku apabila sesuatu perubahan atau transformasi itu tidak hanya terbatas kepada pengenalan dasar-dasar baru atau muka-muka baru.

Malah ia juga merupakan suatu kedatangan era yang menyaksikan munculnya pemimpin-pemimpin berwawasan yang memperjuangkan perubahan yang melangkaui zaman mereka – perubahan yang menguburkan norma-norma lapuk yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat.

Contoh yang mungkin diketahui ramai ialah peristiwa di Amerika Syarikat.  Rakyat negara tersebut pernah hidup dibelenggu Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin menentang kuasa Komunis Kesatuan Soviet.

Pemimpin-pemimpin mereka ketika itu terdiri daripada generasi lama yang gagal memberi kesegaran dan suntikan baru dalam corak pemerintahan negara.  Kekontangan sedemikian berlarutan sehinggalah munculnya John F. Kennedy, yang bukan hanya muda dan kelihatan muda, tetapi telah berjaya membawa suatu mesej peralihan zaman dan program perubahan yang menghidupkan semula harapan rakyat.

Kemenangan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1961 merupakan satu detik penting yang menandakan peralihan generasi.  Ucapan sulung beliau selaku Presiden dilakar dalam sejarah politik dunia sebagai satu sinar harapan kepada rakyat Amerika.  Harapan bahawa ketakutan yang mereka rasakan selama hampir dua puluh tahun bakal berakhir.  Harapan bahawa suatu bentuk pentadbiran yang mencerminkan peralihan generasi secara besar-besaran sudah tiba di Amerika.

Dalam konteks sejarah Islam, perkara yang sama turut berlaku.  Kita singkap kisah Khalifah Harun al-Rashid, yang telah mengangkat Baghdad menjadi pusat keilmuan dan perdagangan dunia pada kurun ke-9.

Pembangunan institusi sarjana seperti Baitul Hikmah serta prasarana perubatan, ekonomi dan pendidikan yang maju telah memangkin pencapaian baru dalam segenap aspek ketamadunan – sesuai dengan label Zaman Kegemilangan Islam.  Tetapi, jauh lebih penting daripada pembangunan institusi, Khalifah Harun adalah pemimpin muda yang membawa nilai-nilai dan pemikiran yang baru untuk melihat Baghdad menyumbang kepada perkembangan tamadun pada skala yang lebih besar.

Maka, meskipun mengambil alih tampuk pemerintahan pada usia 20-an, era kepimpinan Khalifah Harun telah menyaksikan perubahan yang signifikan dalam haluan tamadun Islam, sekaligus menyumbang kepada pencapaian peradaban manusia secara amnya.  Kesemua ini bertitik tolak daripada kesanggupan melakukan suatu transformasi besar-besaran.

Para perwakilan sekalian,

Dua contoh ini menggambarkan betapa penting dan gentingnya peralihan generasi dalam memacu kebangkitan dan haluan kemajuan serta nasib sesuatu masyarakat, negara, mahupun umat manusia sejagat.  Namun, yang bulat takkan datang bergolek.  Yang pipih takkan datang melayang.

Haluan dan nasib takkan berubah dengan sendirinya.  Dalam semua kisah yang saya kongsi sebentar tadi, wujud unsur-unsur anjakan pemikiran, kebangkitan idealisme muda dan keberanian pemimpin memacu pembaharuan positif – inilah yang saya istilahkan sebagai peralihan generasi.

Di tanahair kita, saya percaya kita juga dapat melihat peralihan generasi ini sedang berlaku.  Kepimpinan Presiden parti kita, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, boleh dikatakan kepimpinan negara pertama yang dibesarkan dalam era pasca-Merdeka.  Maka tidak hairanlah jika YAB Presiden amat memahami bahawa perubahan zaman sudah mula rancak berlaku.

Sekiranya kita ketinggalan dalam membuat transformasi, nescaya rakyat tidak akan memaafkan kita.  Kita perlu sedar, faktor besar yang menentukan kalah menang dalam pilihanraya adalah pengundi muda yang dianggarkan hampir 40 peratus.  Golongan pengundi generasi baru ini nyata mempunyai congakan dan pola pemikiran yang cukup berbeza daripada generasi sebelumnya.

Daripada saluran maklumat yang mereka pakai, nilai-nilai yang mereka hargai, hobi yang mereka gemari sehinggalah kepada persepsi dan sudut pandang mereka terhadap peranan pimpinan politik – kesemuanya mencerminkan satu peralihan generasi yang mendukung perubahan zaman.

Syukur Alhamdulillah, kepimpinan YAB Presiden jelas mempamerkan pemahaman jitu terhadap keperluan pengisian yang terancang dalam meraikan peralihan generasi tersebut.  Gagasan transformasi ekonomi dan politik yang dilaksanakan membuktikan kesungguhan beliau dalam memimpin UMNO menakhodai peralihan generasi kini.

Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa sifat dan bentuk peralihan generasi yang kita perlukan bukanlah sesuatu yang mudah.  Ia memerlukan pengorbanan yang besar dan menyeluruh.  Ia bukanlah seperti menyalin tikar lama dengan mengkuang baru.

Ia bukanlah sekadar suatu peralihan kepimpinan lama dengan menggantikannya dengan wajah-wajah muda.  Sebaliknya, jauh lebih penting, ia adalah suatu tuntutan perubahan yang meruntun penghijrahan tasawwur atau sudut pandang atau “worldview”.

Tasawwur yang berupaya menjadi titik tolak kepada segala transformasi ekonomi dan amalan politik dalam Kerajaan mahupun parti.  Tasawwur yang selari dengan peredaran zaman. Tasawwur atau “worldview” yang bertunjangkan acuan pemikiran tersendiri yang segar dan bersedia untuk keluar daripada kepompong kebiasaan tanpa perlu menyisihkan jatidiri asal dan nilai-nilai Islam.  Tuntasnya, lihatlah dunia hari ini daripada sudut pandangan burung, bukannya intaian sempit katak di bawah tempurung.

Tasawwur atau “worldview” yang saya maksudkan ini menuntut keseimbangan antara tradisi dan pemodenan, antara kemajuan fizikal dan pembangunan sahsiah, antara teladan sejarah dan potensi pembaharuan.

Dalam konteks ini, seseorang yang menghayati perspektif dan keseimbangan tersebut akan memahami pentingnya nilai hak asasi dan kebebasan sivil di samping mengiktiraf kepentingan kestabilan dan keamanan negara.  Pada pengamatan saya, inilah asas yang harus mendukung program transformasi politik yang kita saksikan hari ini.

Sebagai contoh, YAB Presiden telah memutuskan untuk memansuhkan ISA – satu simbol kuasa berpaksikan tasawwur lapuk – dengan harapan ia bisa menyuburkan amalan demokrasi yang lebih matang di samping menggubal undang-undang baru yang menjamin keselamatan negara.

Banyak lagi contoh serupa yang menandakan berputiknya lembaran baru dalam falsafah kepimpinan negara.  Tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa segala Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Politik yang digariskan oleh YAB Presiden tidak mungkin berlaku tanpa wujudnya tasawwur atau sarwajagat baru ini.  Ini adalah satu peralihan perspektif yang menuntut kita menjadi lebih berani, matang dan berkeyakinan dalam menyambut cabaran dunia baru.

Dalam soal politik, jika tasawwur atau “worldview” sebelum ini, prinsipnya mudah: kuasa adalah betul atau “might is right”.  Maksud saya, kuasa adalah prinsip yang mendasari segala tindakan kita sebelum ini.  Apabila wujudnya masalah, kita tangkap dan humban ke dalam lokap.

Bila berdepan cabaran, kita cantas, berkas dan haramkan.  Mungkin kaedah mentaliti Perang Dingin ini sesuai pada masa dahulu, tetapi dunia sekarang meruntun pendekatan yang lebih berhikmah dan terbuka.  Lantas sebagai contoh tasawwur ini, Kerajaan akan pinda seksyen 15 AUKU bagi membuka ruang kepada mahasiswa kita untuk turut serta dalam politik.

Pada saya, ini bukan bermain selamat, ini tamsilan kepimpinan berhemat.  Ini bukan tunduk pada tekanan, ini kesungguhan melakar perubahan.

Sama seperti peralihan generasi dalam arena politik, penterjemahan tasawwur baru dalam lapangan ekonomi juga harus berasaskan prinsip yang lebih progresif.  Mentaliti ekonomi Melayu sebelum ini banyak berpaksikan kepada bantuan dan perlindungan Kerajaan semata-mata.

Jatuh bangun perniagaan Melayu terlalu bergantung kepada ihsan Kerajaan.  Jika Kerajaan bantu, Melayu maju.  Jika Kerajaan enggan tolong, maka melopong.  Itu perspektif  lama.

Tetapi zaman sudah berubah. Di samping masih ramai orang Melayu yang memerlukan bantuan Kerajaan, ramai juga orang Melayu yang sudah bertapak dalam pelbagai industri dan sektor ekonomi negara.

Objektif kita sekarang bukan semata-mata mahu meningkatkan penglibatan orang Melayu dalam sektor ekonomi, tetapi untuk membina daya saing supaya Melayu mampu melonjak lebih tinggi berlandaskan kemampuan dan merit. Yang miskin kita bantu, yang mampu kita perkasa.

Sebagai generasi pemimpin muda parti dan negara, Pemuda mesti berada di hadapan setiap kelok perubahan demi mengisi gagasan peralihan generasi.  Dalam konteks ini, ingin saya tegaskan kita haruslah menjiwai makna dan falsafah gagasan peralihan generasi dan tasawwur ini dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Tiada gunanya jika kita sekadar bersorak dan bertepuk tangan secara membuta tuli menyambut setiap pengumuman YAB Perdana Menteri, tanpa memahami dengan jelas rasional dan sebab tindakan tersebut.

Sokongan kita terhadap langkah-langkah progresif seperti pemansuhan ISA mesti berlunaskan satu kesedaran mendalam tentang tuntutan tasawwur atau “worldview” baru, bukan kerana membodek ketua.

Perkara ini harus dipandang serius.  Kerana kegagalan menjiwai kepentingan tasawwur baru ini akan menggagalkan transformasi atau peralihan generasi yang kita wawarkan.  Menjadi harapan orang muda di luarsanauntuk kita dalam Pemuda menjadi pelopor dan pencetus kepada idea dan pemikiran baru dan progresif tanpa menunggu isyarat dari YAB Presiden.

Jika tidak, kita akan muda hanya pada usia, bukan pada idea atau pemikiran – “young in age, but ancient in mentality”.  Percayalah, ini bukan masanya kita menjadi tukang sorak yang menyokong tanpa ilmu, yang menentang dengan nafsu.

Kita tidak perlu melangkau jauh bagi melihat contoh terbaik untuk kita teladani.  YAB Presiden kita sendiri, walaupun sudah lama meninggalkan zaman Pemuda, tetapi dirinya adalah seorang pemimpin yang mesra generasi muda, yang faham generasi muda dan lebih penting yang menghargai dan mengiktiraf generasi muda.

Beliau mempunyai ratusan ribu pengikut di Twitter, sentiasa menggunakan ruang media sosial untuk berinteraksi dengan orang muda, singgah ke konsert, bersukan.  Dan lebih penting daripada itu, pendekatan dan falsafah politik YAB Presiden sendiri berkisar kepada prinsip-prinsip keterbukaan, kebebasan, keadilan dan penghakupayaan generasi muda.

Pendek kata, Presiden kita adalah contoh terbaik seorang pemimpin yang menjiwai tasawwur dan peralihan generasi ini.

Dalam konteks perubahan dan tasawwur baru ini, Pemuda harus bersyukur kerana perjuangan kita, membuahkan hasil.  Hampir semua dari langkah transformasi politik kerajaan – ISA, AUKU, kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun – adalah sesuatu yang telah kita perjuangkan lebih awal lagi.

Pada waktu dan ketika itu, ada yang pandang sinis – kononnya Pemuda terlalu liberal dan progresif.  Tetapi hari ini terbukti, keberanian Pemuda membawa tasawwur baru yang mencerminkan kehendak sebenar orang muda akhirnya mendapat pengiktirafan melalui transformasi YAB Presiden sendiri.

Inilah tandanya kita tidak bertindak membuta tuli. Perjuangan kita selari dengan jiwa orang muda.  Itulah sebabnya Barisan Nasional Pilihan Orang Muda.

Para perwakilan sekalian,

Dalam konteks yang lebih luas, kesedaran terhadap kepentingan menghayati tasawwur baru ini akan memberi satu makna baru kepada konsep “winnable candidate” yang diperkenalkan YAB Presiden.  Untuk memastikan kemenangan bagi Barisan Nasional pada pilihanraya yang bakal diadakan, kita perlu mengangkat calon-calon yang bukan hanya popular dalam parti, tapi diterima oleh para pengundi.

Dalam konteks peralihan generasi yang saya olah tadi, saya percaya bahawa salah satu faktor yang menjadikan seseorang calon itu sebagai “winnable candidate” adalah sejauh mana beliau memahami peralihan generasi yang sedang berlaku.

Kajian Makmal Pemuda mendedahkan sandaran undian anak muda adalah 35 peratus berdasarkan parti, 34 peratus calon dan 27 peratus pemimpin utama peringkat nasional.  Kajian ini juga mendapati bahawa 62 peratus daripada mereka adalah kelompok atas pagar yang hanya akan memilih parti dan calon yang dianggap terbaik.  Maka sangkaan dan kepercayaan bahawa rakyat sentiasa menyokong BN walau siapapun calon kita, adalah mitos dan meleset sama sekali.

Bukan sekadar pertimbangan yang diambil kira dalam mengundi generasi muda amat berbeza, kita juga perlu menerima hakikat bahawa merekalah faktor penentu kalah menang bagi banyak kerusi di PRU-13.  Maka, atas dasar ini, “winnable candidates” adalah mereka yang antara lain berupaya memahami dan berkongsi perspektif yang mesra generasi muda.

Selain itu, seseorang “winnable candidate” perlulah mempunyai kebolehan dan amanah.    Dua perkara ini akan menentukan sama ada seorang calon itu diterima oleh pengundi atau sebaliknya.  Amanah menuntut anjakan pemikiran dan kesedaran dalam memupuk budaya jujur, ikhlas dan mesra dalam perjuangan.

Sesungguhnya, selaku pemimpin, kepentingan diri tidak boleh sekali-kali menjadi keutamaan.  Kita sentiasa dinilai oleh rakyat jelata, dan kepada rakyatlah keringat ini perlu tumpah.

Yang lebih penting, segala perlakuan kita selaku pemimpin yang memikul amanah besar ini akan diadili oleh Allah SWT nanti.  Keinsafan dan kesedaran ini harus menjadi daya yang memberi makna kepada semua tindakan agar kita berani memperjuangkan perkara yang benar demi rakyat.

Firman Allah SWT sebagaimana petikan daripada ayat 26, Surah Al-Qasas :

إِنَّ خَيۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِىُّ ٱلۡأَمِينُ

 Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah”.

Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah menulis, “Hendaklah dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. “Al-Quwwah” merujuk kepada kekuatan atau kemampuan seseorang melaksanakan tugas yang diberi.

Sudah pastilah dalam konteks politik dan pilihanraya, “al-Quwwah” yang dimaksudkan ialah seorang “winnable candidate” yang cergas, rajin, berwawasan, prihatin, adil kepada semua tak kira agama atau bangsa dan mempunyai ilmu untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Jika kita mengakui hakikat bahawa PRU-13 merupakan medan survival BN, kita perlu menerima konsep “winnable candidate” dan bersama-sama menyokong YAB Presiden melaksanakannya.

Pada zaman Rasulullah SAW sendiri, semasa Islam diserang dari pelbagai sudut dan survival agama berada di tahap paling genting, Baginda telah memilih panglima-panglimanya berdasarkan kemampuan dan bukannya hubungan mereka dengan Baginda.

‘Amr bin al-As dihantar untuk menjadi pemerintah wilayah Oman walaupun beliau baru menganut Islam jika dibandingkan dengan para sahabat yang lain.  Rasulullah SAW telah memilih Khalid ibn al-Walid untuk menjadi panglima tentera Islam dan memberi gelaran Sayful Allah al-Maslul atau Pedang Allah Yang Terhunus.

Bukan kerana beliau dan Baginda mempunyai pertalian khusus.  Namun dek keupayaan beliau dalam mengurus, kebijaksanaan mengatur turus serta keberanian menggempur musuh secara terus.

Saya akui, kita tidak mungkin setanding dengan ‘Amr al-As ataupun Khalid ibn Al-Walid.   Namun saya yakin ada di kalangan Pemuda yang sudah bersedia menggalas tanggungjawab yang lebih besar.  Kami dilatih, dididik dan diasuh dalam kilang UMNO.  Kami berharap melalui konsep “winnable candidate”, tiada lagi calon yang dipilih atas dasar simpati mahu pun calon pakai kabel.

Sebaliknya, “winnable candidate” perlu dipilih atas dasar merit dan keupayaan sebenar.  Kami menunggu dengan penuh kesabaran waktu dan giliran untuk tampil ke hadapan.  Kami sama sekali tidak mendesak untuk mengganti yang lama, jauh sekali dari mengaku sebagai terbaik dari semua yang ada.

Cuma sekadar ingin menyatakan dengan satu suara dan harapan, intai dan jenguk-jenguk jualah Pemuda dalam memilih “winnable candidate” akan datang.

Anak tupai digonggong helang
Terbang tinggi menghala selatan
Jika Pemuda di beri peluang
Tak mungkin kami persia-siakan

Pemuda juga ingin menghantar amaran yang keras.  Kami kesal dengan sikap sesetengah kelompok yang hari ini menyokong konsep “winnable candidate”, kononnya berikrar akan membantu “winnable candidate” untuk menang, sebaliknya beria-ia menunjukkan muka di ambang pilihanraya kerana menganggap diri mereka sebagai “winnable candidate”.  Tetapi apabila harapan tidak kesampaian, sokongan serta sumbangan terhadap parti dibiar mati bersama angan-angan yang tak menjadi.

Ini bukan bentuk mentaliti yang kita mahu.  Kalau masih ada golongan sedemikian yang bukan sahaja terang-terang menyokong pembangkang tetapi juga memboikot secara senyap – yang langsung tak buat kerja, yang membawa diri merajuk sepi, yang menghilangkan diri, yang tak keluar mengundi – kita minta tindakan tegas terhadap mereka ini sebagai pembelot kepada parti.

Namun akhirnya, kita percaya dan menaruh keyakinan tinggi kepada kebijaksanaan serta pertimbangan pucuk pimpinan parti di dalam menentukan pilihan calon yang difikirkan layak sebagai “winnable candidate” di kalangan ahli parti.

Ikrar kami kepada Presiden, sungguhpun Pemuda menaruh harapan untuk diberi peluang, kami tahu yang paling penting adalah untuk memenangi pilihanraya.  Oleh itu, walau apa jua pun keputusannya, Pemuda berikrar kepada YAB Presiden, kami akan setia menyokong mana-mana calon yang dipilih demi maqasid yang lebih besar yakni kemenangan Barisan Nasional.

Para perwakilan sekalian,

Di bawah kepimpinan hari ini, Pemuda UMNO telah ditransformasi dan diberi wajah baru, penjenamaan baru, pengisian baru.  Jika dulu Pemuda pernah dianggap kumpulan pendesak, jurubicara masyarakat atau sekadar pelengkap kepada pimpinan parti. Hari ini Pemuda telah membuka lembaran baru.

Kini, imej dan identiti Pemuda UMNO tidak lagi dilihat atau dikenali sebagai satu sayap politik yang hanya tahu bermain retorik.  Maka, Pemuda kini berdiri sebagai sebuah pertubuhan yang kreatif dan proaktif dalam menyelesaikan masalah dan isu generasi muda. Inilah yang dimaksudkan “politik khidmat bakti” atau “solutions driven politics” oleh Pemuda UMNO.

Dalam Model Baru Politik, Pemuda tidak seharusnya menjadi entiti yang hanya pandai bercakap dan menolak segala selok belok pelaksanaan kepada Kerajaan.  Sebaliknya, Pemuda sendiri perlu terlibat secara terus dan aktif dalam merangka dasar dan menyampaikan penyelesaian berkesan melalui program-program kita sendiri.

Ini kerana, apabila bercakap tentang politik, hanya ada dua perkara yang akan terngiang-ngiang di benak pemikiran orang muda hari ini.  Pertama “What can you do for us?” dan keduanya kepercayaan bahawa “Talk is cheap” atau cakap senang la. Jadi tukang karut sahaja tak guna.

Atas kesedaran ini, bermula dengan lima rukun Pemuda iaitu Bersatu, Berprinsip, Relevan, Inklusif dan Proaktif sebagai panduan dalam misi memenangi sokongan generasi muda, kita telah memperkenalkan Makmal Pemuda atau BN Youth Lab yang menjadi platform untuk generasi muda hari ini meluahkan kegusaran dan menyuarakan pandangan mereka.

Antara isu yang dibangkitkan ialah perumahan, pendidikan, penjagaan anak-anak dan ibu bapa, gaji minimum, pinjaman PTPTN, pinjaman perniagaan dan harga barangan.  Kita bersyukur kerana banyak daripada cadangan kita, iaitu Skim Rumah Pertamaku, Dana Belia 1Malaysia dan Majlis Konsultasi Gaji Negara, yang bakal melonjakkan kadar gaji pekerja, telah disisipkan dalam Belanjawan tahun lepas.

Tambahan lagi, Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) bagi memenuhi keperluan perumahan generasi muda telah turut dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Julai lalu.  Kesemua ini adalah contoh ampuh kepada ideologi politik khidmat bakti yang menjadi teras kepada era baru Pergerakan Pemuda hari ini.

Malah, atas prinsip politik khidmat bakti yang menjuarai suara orang muda hinggalah aspirasi menjadi realiti, Pemuda telah menerajui gerakan ke arah perkembangan kebebasan sivil yang kini menjadi dasar Kerajaan sepertimana saya sebut tadi – ISA, AUKU, tahanan terhad, kebebasan akhbar dan kini kebebasan berhimpun.

Melalui program Jelajah 1Malaysia atau JOM kita telah membawa nilai hakiki kepada tradisi pembelaan rakyat.  Lebih 550 buah rumah telah kita baik pulih dan ribuan keluarga telah mendapat bantuan melalui gerakan Cakna Pemuda dan Pemuda Prihatin.  Karnival Kerjaya Pemuda BN akan menjadi aktiviti berterusan untuk membantu para graduan dan anak muda mendapat pekerjaan.

Setakat ini karnival kerjaya tersebut telah diadakan tujuh kali diKuala Lumpur, Kedah, Melaka, Pahang,Sabahdan Perak.  Karnival kerjaya kita telah menjadi satu jenama sebutan ramai – bila orang muda bercakap pasal pekerjaan, pasti tak lekang dari bercakap Karnival Kerjaya Pemuda yang telah menawar puluhan ribu peluang pekerjaan kepada ratusan ribu anak muda, tak kira parti, tak kira bangsa.

Tidak hanya sekadar itu:

  • bagi membuktikan bahawa khidmat bakti Pemuda tidak hanya tertumpu di kawasan luar bandar dan mengikis persepsi yang UMNO ini hanya jaguh kampung, Sekretariat Hal Ehwal Bandar gigih mendekati wargakotadengan pelbagai program kebajikan
  • bagi membantu anak muda yang menghadapi kekangan kewangan untuk belajar, kita lancarkan Biasiswa Pendidikan Pemuda;
  • bagi mencungkil bakat anak-anak muda, kita telah mengadakan Festival Musik Pemuda  sebagai satu platfom mempamerkan kebolehan masing-masing;
  • bagi membantu mereka yang teraniaya, yang dibawa lari, yang tiada kad pengenalan, Biro Aduan Komuniti tanpa jemu memastikan kes-kes yang diadu dapat diselesaikan;
  • bagi menggilap dan menarik minat bakal pemimpin pelapis, kita juga telah menganjurkan Pertandingan Pidato Politik yang terbuka kepada semua anak muda pelbagai bangsa;
  • bagi menyemai semangat patriotisme dan membuang sikap mendewa-dewakan komunis, kita anjurkan Pentas Patriot;
  • bagi membina kelas peniaga dan budaya keusahawanan di kalangan anak muda, Biro Ekonomi & Pembangunan Usahawan telah tampil dengan pelbagai program seperti Jelajah Francais dan MyBiz;
  • bagi membantu orang muda memiliki rumah kita anjurkan juga BN Youth Home Ownership Expo (HOPE) yang menawarkan rumah-rumah mampu milik di bawah Skim Rumah Pertamaku serta PR1MA; dan
  • bagi menangkis serangan pembangkang dan mengukuhkan suara kita di alam siber, aktiviti Unit Media Baru terus diperkasakan.

Alhamdulillah, impak dan hasil kesemua program ini telah menjana sokongan kepada BN, di mana kita melihat kembalinya undi muda pada pilihanraya-pilihanraya kecil, bermula dari Bagan Pinang lagi.

Program-program ini juga telah menyuntik semangat dan kesedaran politik generasi dan telah membantu kita mendaftarkan hampir 80 ribu pengundi baru pada tahun ini sahaja dan pada masa sama mengekalkan Pemuda selaku penyumbang terbesar keahlian baru UMNO.

Semua pencapaian ini jelas membuktikan bahawa program-program Pemuda adalah selari dengan Model Baru Politik.  Malah, YAB Presiden telah mengiktiraf program kita seperti Karnival Kerjaya sebagai contoh Model Baru Politik.  Terbukti, Pemuda tidak hanya bersorak, tidak melepaskan batuk di tangga, atau menyokong dengan suara.

Tetapi kita aktif, kita kreatif dalam membantu agenda YAB Presiden.  Kita laksanakan program-program yang membawa nilai tambah, yang menjadi kebanggaan kepada parti dan YAB Presiden.  Jadi ini bukan sekadar mendabik dada atau syok sendiri, kerana nakhoda kita sendiri dan golongan muda amnya telah mengiktiraf peranan Pemuda dalam memacu generasi, melakar transformasi.

Para perwakilan sekalian,

Lanjutan kepada seruan politik khidmat bakti yang kita pegang serta selaku ejen penyelesaian masalah orang muda, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk menarik perhatian Kerajaan dan pimpinan parti kepada beberapa perkara.

Pertama, jika kita lihat kepada senario sekarang, kebanyakan anak muda kita begitu terdedah kepada kecenderungan atau keperluan untuk berhutang sama ada untuk menampung pelajaran, kad kredit, kereta dan sebagainya, berbanding dengan pinjaman produktif bagi memulakan perniagaan atau mencipta peluang baru.

Ketidakseimbangan struktur ini terbukti apabila jumlah hutang yang dikeluarkan oleh sektor kewangan bagi kad kredit dan kereta dari tahun 2010 hingga Julai 2011 mencecah RM249 bilion.

Jumlah ini sebenarnya RM7 bilion lebih tinggi berbanding pinjaman yang diberikan kepada perniagaan kecil dan sederhana dalam tempoh yang sama.  Tidak hairanlah jika angka hutang anak-anak muda kita meningkat saban hari sehinggakan 25 peratus daripada mereka yang muflis dari tahun 2005 hingga tahun ini adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun.

Oleh itu, sekalipun kita mengakui sumbangan agensi-agensi seperti Tekun, MARA, PUNB, SME Bank dan lain-lain dalam membantu mengatasi masalah ini, saya ingin sekali lagi mengusulkan penubuhan bank khas untuk orang muda, iaitu Bank Belia.  Sesungguhnya Pemuda percaya bahawa bank ini akan mampu menawarkan pinjaman serta program perintis kepada usahawan muda.

Bank ini bukan sahaja berkhidmat dan memenuhi keperluan orang muda, malah harus dibiar untuk diuruskan oleh orang muda.  Bank ini tidak akan memberi pinjaman mudah atau kemudahan yang menambah beban seperti hutang kad kredit tetapi menyumbang hanya untuk keperluan produktif yang menjana pendapatan seperti pinjaman modal pusingan serta modal memulakan perniagaan bagi usahawan muda.

Kita juga anjurkan supaya skim pembangunan vendor muda diperkenalkan oleh semua GLC dengan kuota khusus bagi menyemarakkan penyertaan usahawan muda pelbagai bangsa yang berpotensi dan berkemampuan. Ini untuk membolehkan usahawan muda membina “track record” dan pengalaman mereka.

Yang kedua adalah penghakupayaan pasangan muda yang bekerja melalui penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh negara.  Umum mengetahui, keperluan bagi pusat tersebut adalah ketara bagi golongan muda, terutamanya bagi pasangan yang kedua-duanya bekerja.

Hari ini, ramai suami yang mengeluh apabila si isteri terpaksa berhenti kerja semata-mata perlu menjaga anak. Atau tidak mustahil makin ramai suami yang terpaksa berhenti kerja sebab gaji isteri mereka lebih tinggi.  Apapun mereka hilang satu punca pendapatan disebabkan tangungjawab menjaga anak. Oleh sebab itu, Pemuda mencadangkan penubuhan Pusat Jagaan Kanak-kanak 1Malaysia yang bersih dan selamat serta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan dibina di seluruh negara.

Ketiga, Pemuda UMNO juga menyambut baik iltizam Kerajaan dalam memperluas Pendidikan Teknik dan Vokasional.  Kami sedar bahawa sebahagian besar daripada pelajar lelaki muda mempunyai kemahiran amali lebih daripada kecemerlangan akademik.  Kami juga sedar bahawa sistem sedia ada tidak menyediakan peluang yang cukup bagi mereka.

Setakat ini hanya 10 peratus daripada jumlah pelajar kita yang mengikuti pendidikan vokasional berbanding dengan negara lain sepertiThailand41 peratus dan Jerman 59 peratus.  Sekiranya kita mahu memastikan aliran ini dapat mewujudkan pekerja mahir yang tidak ketinggalan apabila ekonomi negara mengorak langkah ke tahap berpendapatan tinggi, usaha untuk menambah lebih banyak lagi kolej teknik perlu disegerakan.

Kurikulum aliran teknik dan vokasional juga perlu dikemaskini mengikut keperluan pasaran.   Jangan kita ulangi kelemahan dasar penambahan universiti yang lebih bercorak kuantiti bukan kualiti.

Sekadar menambah lebih banyak universiti tanpa menyediakan kursus yang relevan kepada pasaran, lantas melahirkan ramai siswazah yang berijazah tetapi tiada kemahiran yang diperlukan oleh dunia pekerjaan.

Pemuda UMNO harap aliran teknik dan vokasional ini akan menjadi tempat lahirnya pekerja berilmu pengetahuan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan mengubah persepsi sedia ada terhadap aliran berkenaan.

Yang keempat, selari dengan tasawwur baru, agenda ekonomi Bumiputera juga perlu pendekatan baru.  Di samping kita tekankan dasar-dasar yang lebih mesra pasaran, berteraskan merit dan terbuka, kita juga akui betapa pentingnya tindakan Kerajaan untuk memastikan pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Oleh itu, Pemuda menyambut baik penubuhan TERAJU dan juga pengumuman Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera oleh YAB Perdana Menteri beberapa hari yang lepas.

Pemuda harap TERAJU akan dapat berpegang teguh kepada pendekatan baru ini.  Kita tidak mahu sejarah berulang di mana segelintir usahawan Bumiputera yang hanya bersandarkan kabel, dibantu atas nama Dasar Ekonomi Baru, tetapi akhirnya saham dijual, kepentingan digadai – sekadar nama atas kertas supaya mendapat status Bumiputera tetapi tidak lebih dari seorang Ali kepada Baba.

Usahawan Bumiputera muda kini lebih berupaya dan jujur.  Mereka tidak akan jual kepentingan bangsa, mereka sanggup bersaing dengan semua.  Saya harap TERAJU akan melihat kepada kumpulan ini.

Jika dulu kita melihat matlamat DEB cuba dicapai melalui pemindahan kekayaan kepada mereka yang tiada kemampuan, Pemuda berharap TERAJU akan memastikan yang diberi peluang adalah anak bangsa yang tidak akan mengkhianati perjuangan dan mengaut keuntungan cepat untuk diri sendiri.

Kelima, pada awal tahun ini Pemuda telah bangkit mendesak Kerajaan agar tidak menaikkan harga minyak RON95 tatkala rakyat sedang dihimpit tekanan kenaikan harga barang.  Alhamdulillah, Kerajaan telah mendengar pandangan kita dan harga RON95 terus kekal.  Kita juga menyokong usaha Kerajaan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia yang bukan sahaja menawarkan produk yang lebih murah malah menghapuskan kerakusan orang tengah dalam mengaut untung.

Dalam hal ini, saya juga menggesa pihak Kerajaan bersikap lebih proaktif untuk menggunakan apa sahaja perundangan dengan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang ligat menekan rakyat di negara ini.

Sememangnya, kenaikan harga barang berlaku antara lain atas sebab faktor luaran.  Tetapi kita juga tahu wujudnya pihak atau “traders” yang tamak.  Inilah golongan rakus yang perlu kita perangi, golongan parasit yang mengaut keuntungan luar biasa atas kesusahan orang lain.

Sekali lagi cadangan-cadangan ini menjadi bukti pentas keramat Pemuda sentiasa menjaga kepentingan orang muda, lantas menjadikan BN Pilihan Orang Muda.  Kita berkhidmat selesaikan masalah bukan seperti pembangkang yang hanya tahu menghasut anak muda memberontak.  Politik kita politik khidmat bakti, politik pembangkang politik demonstrasi sana sini.

Para perwakilan sekalian,

Sekarang wujud kelompok tertentu yang menggarap nafsu, kedangkalan ilmu serta perjuangan individu menjadi runut dan lagu politik yang baru.  Mereka tidak ubah seperti agas-agas sumbang yang gemar menangguk di air keruh.  Terkinja-kinja ke hulu dan ke hilir dengan pendekatan semberono dan populis. Ia sebenarnya tidak lebih daripada gula-gula politik, ditabur demi mengumpan sokongan merebut kuasa yang sudah lama mereka dambakan.

Golongan sedemikian, adalah satu gerombolan pemancing terdesak – sanggup meletakkan cacing-cacing simpati agar kail muslihatnya disentap mereka yang termakan tipu helah betapa setiap janji-janji manis yang ditabur bukan sahaja memusnahkan diri, malah menggadai negara.

Filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul 6 Jahanam telah mengisahkan tentang 6 orang penjenayah yang membuat onar dalam masyarakat dengan perbuatan merompak, mencuri, membunuh dan merogol.  Hari ini masyarakat kita tidak terlepas daripada terpaksa berhadapan dengan 6 Jahanam versi moden – polemik politik pembangkang jijik!

Buktinya adalah melalui percubaan pembangkang yang berangan-angan melaksanakan 6 formula kehancuran negara yang saya sifatkan sebagai formula 6 Jahanam.


Pertama:  Menjahanamkan sistem demokrasi

Pembangkang seringkali menggunakan kebangkitan di Timur Tengah untuk menghasut rakyat negara ke arah revolusi jalanan. “Arab Spring” di Malaysia, kata mereka.  Di manakah letaknya akal fikiran mereka kalau kita ingin disamakan dengan negara Tunisia, Mesir dan Libya?  Malaysia amat berbeza dengan negara yang huru-hara di Timur Tengah.

Namun, pembangkang menggunakan perkara ini untuk meniup api kebencian kepada Kerajaan.  Inilah agenda tersembunyi yang ingin mereka capai, tatkala idea mengadakan Bersih mereka canai.  Matlamat mereka bukannya pemerkasaan sistem pilihanraya yang adil.

Sebaliknya, ia adalah wahana menyebarkan debu-debu sangsi yang akan menimbulkan kekacauan yang maha kelam kabut dalam sebuah negara berdaulat.

Pada mereka sistem demokrasi itu tidak wujud di bawah pentadbiran BN.  Pada mereka BN adalah pencuri pilihanraya, menidakkan suara rakyat, dan menggunakan serba macam taktik kotor untuk kekal berkuasa.  Jika benarlah pakatan pembangkang mendukung demokrasi, mengapa sehingga hari ini mereka tidak pernah melahirkan rasa kesal mengenai insiden September 16?

Sedarkah kita, propaganda rampasan kuasa September 16 adalah satu bentuk penghinaan kepada amalan demokrasi yang wajar dirakam sebagai satu detik hitam dalam sejarah negara.

Tak cukup dengan itu, baru-baru ini Azmin Ali dengan gah mengumumkan hasrat PKR untuk memecah tembok penjara bagi membebaskan Anwar Ibrahim sekiranya didapati bersalah dalam kes liwatnya. Semestinya ini bukan kenyataan pendukung demokrasi yang sebenar.

Undang-undang negara, sistem kehakiman negara semuanya tidak diendahkan.  Sudah terang lagi bersuluh, keluar dari mulut mereka sendiri, agenda mereka hanya satu, iaitu memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa jua cara – halal atau haram.  Dan konsep demokrasi ini hanya menjadi alat bermusim ke arah sasaran sempit mereka.

Tidak syak lagi, demokrasi negara menjadi mangsa pertama di bawah kerakusan pakatan jahanam.

Burung bayan terbangnya tinggi
Hinggap seekor di pohon pisang
Mengaku konon pejuang demokrasi
Rupanya penghasut jalan songsang


Kedua:  Menjahanamkan sistem pentadbiran

BN adalah satu parti yang telah terbukti keupayaannya dalam mentadbir negara.  Semangat setiakawan antara parti komponen dapat dilihat dengan jelas dalam pemilihan Jemaah Kabinet oleh Perdana Menteri.

Bagaimana pula dengan pembangkang?  Sehingga kini, mereka masih gagal memberikan kita Kabinet Bayangan.  Yang mereka ada, 3 penyelia untuk satu portfolio – tiga kepala, satu badan.  Bayangkan kalau mereka perlu menubuh kabinet di masa hadapan – siapa Perdana Menterinya?  Anwar, Guan Eng atau Haji Hadi?

Mutakhir ini, mereka dengan angkuhnya mahu mengurangkan bilangan kakitangan kerajaan.  Pembangkang tabur statistik bahawa nisbah penjawat awam dengan penduduk di Malaysia adalah tinggi dan membebankan.

Tetapi mereka sengaja menyembunyikan hakikat bahawa negara-negara lain tidak mengambil kira golongan anggota keselamatan dan warga pendidik sebagai kakitangan awam. Sedangkan di Malaysia, dua golongan ini merangkumi lebih 50 peratus daripada semua penjawat awam.   Maka, sudah pastilah nisbah kita lebih tinggi daripada negara-negara lain.

Bagi Pemuda, tiada langsung sebab untuk kurangkan saiz kakitangan awam.  Negara tidak mungkin mengecapi kemakmuran sebegini tanpa sokongan dan usaha gigih sektor awam.  Tapi jelas, ini bukan pertimbangan bagi pihak pembangkang.  Sesungguhnya, bagi penjawat awam yang bakal mengundi kelak, undi untuk pembangkang adalah sama seperti menabur pasir ke periuk nasi sendiri.

Bayangkan pula apa akan jadi kepada pentadbiran undang-undang?  PAS mahu laksanakan hudud, tetapi DAP pula minta langkah mayat mereka dulu.  Jika Pakatan mengambil alih Kerajaan Persekutuan, apakah akan ada undang-undang berbeza di negeri berbeza?

Apakah definisi jenayah sendiri akan berubah mengikut geografi?  Kalau mencuri di Kelantan, potong tangan.  Kalau di KL, sumbat penjara.  Kalau di Pulau Pinang, itu kita tengok dulu apa kata Khalifah Lim Guan Eng.

Inilah realiti yang akan berlaku sekiranya kita benarkan pakatan pembangkang yang tandus persefahaman mengambil alih kepimpinan negara.  Sistem pentadbiran kucar-kacir tanpa arah, porak peranda – menjadi mangsa kedua kerakusan pakatan jahanam!


Ketiga:  Mejahanamkan maruah negara

Semua menjadi saksi, UMNO dan BN tidak pernah tergamak memburuk-burukkan kepimpinan negara kita kepada orang luar.  Namun, tidak sampai sepenggal menjadi Ketua Menteri, Lim Guan Eng terkocoh-kocoh ke Singapura menjaja fitnah terhadap negeri Johor semata-mata mahu menggambarkan satu situasi yang menyebelahi partinya.

Beliau tahu Johor adalah bakal penerima pelaburan terbesar dari Singapura.  Disebabkan dengki, beliau menakut-nakutkan pelabur dari Singapura tanpa mempedulikan kesan pelaburan negara yang boleh merudum disebabkan tindakan biadapnya, seolah-olah Pulau Pinang itu bukan sebahagian dariMalaysia.

Persetankan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia.  Apa yang penting hanyalah DAP dan Republiknya di Pulau Pinang!  Pantang ada peluang.  Maruah negara beliau telanjangkan.

Kerakusan pembangkang amat berbeza dengan sikap dan budaya kita yang bangga menjadi anak Malaysia.  Kita bangga dengan asal usul negara kita, bangga dengan pencapaian kita, bangga dengan lambang negara kita.  Maka kita marah apabila pembangkang dengan sesuka hati memperlekehkan Jalur Gemilang.

DAP dengan angkuhnya berkata mereka lebih sanggup edar bendera roket berbanding bendera kebangsaan.  Ini biadap!  Kita marah dengan janji pembangkang untuk mengubah terus Jalur Gemilang sekiranya mereka memerintah.  Inilah polemik politik jijik dan budaya kebencian yang dibawa oleh pihak pembangkang.

Bukan setakat simbol negara, institusi-institusi penting seperti polis, tentera semuanya habis dihentam dan dipandang hina.  Tak pernah langsung kita dengar mereka mengiktiraf jauh sekali memperjuangkan kepentingan anggota keselamatan negara.  Bayangkan kalau mereka mengambil alih, apa nasib negara kita?  Jadi bahan cemuhan di persada antarabangsa.

Maka, sekiranya kita biarkan mereka memerintah, satu sahaja hasilnya terhadap maruah dan imej negara.  Mangsa ketiga pakatan jahanam!

Malangnya sungguh nasib Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Pembangkang sungguh berhati busuk
Burukkan negara berderai-derai 


Keempat: Menjahanamkan sejarah negara

Sesungguhnya sejarah adalah pasak jatidiri sesuatu negara.  Warisan dari generasi ke generasi.  Melalui sejarah, kita kenal identiti kita sebagai seorang Melayu Islam dan seorang warganegara Malaysia.  Melalui sejarah, kita mula memahami tanggungjawab, amanah dan peranan kita dalam memastikan kelangsungan agama, bangsa dan negara.  Tanpa sejarah, semua laungan juang tidak bermakna.  Tanpa sejarah kesemua percaturan politik tidak punya hala tuju.

Peliknya, hari ini ada yang memutar belitkan sejarah – menyanjung golongan yang mengetuai serangan Bukit Kepong – golongan yang membunuh isteri dan anak semuda dua tahun.  Semua dipuja sebagai pejuang kemerdekaan.  Pegawai polis yang terkorban pula dilabel sebagai tali barut British.

Apabila musuh durjana negara diangkat sebagai wira, apabila perjuangan pembela pertiwi dihina, maka inilah tamsilan ampuh talam dua muka; pakar pura-pura.  Inilah yang dikatakan gunting dalam lipatan; api dalam sekam; musuh dalam selimut.  Inilah realiti sekiranya penjunjung komunis dibiar mentadbir negara.

Lesap habis segala fakta sejarah.  Kesemuanya bakal diganti mitos pro Komunis yang menyanjungi pengganas, para pembunuh anggota polis.  Sejarah negara dan asal usul bangsa menjadi mangsa keempat pakatan jahanam.

 

Kelima:  Menjahanamkan jati diri bangsa

UMNO adalah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.  Malangnya ini bukan fokus Pakatan Rakyat.  Yang mereka tahu, gadaikan kepentingan bangsa, cabar kesucian agama, asalkan kepentingan politik mereka terjaga.  Kita perhatikan PAS.  Setiap kali cuba menyentuh isu agama, mereka akan dilibas pantas oleh DAP.  PAS hanya mampu membisu.  Takut berputus kasih dengan DAP yang memilih bulu!  Bila DAP mengamuk, PAS menyorok.  Bila DAP kata Himpunan Sejuta Umat agenda haram, PAS diam.

PAS tutup cerita pasal larangan berhibur di bulan puasa di Kedah.  PAS tutup cerita pasal isu murtad yang berleluasa.  Semua berpunca daripada ketiadaan satu ideologi yang sehaluan – yang digadaikan adalah nasib bangsa dan agama.

Lebih malang, demi kuasa, pembangkang ligat menanam benih prejudis yang menghalang orang Melayu untuk bercakap dan memperjuangkan kepentingan bangsa secara terbuka.  Jatidiri Melayu mereka hakis.  Kecintaan kepada bangsa mereka kikis.  Sehingga mewujudkan persekitaran yang menyebabkan segelintir berasa janggal untuk menzahirkan semangat dan jatidiri mereka sebagai anak Melayu.

PAS dan PKR masih sanggup bersekongkol dan hanya mendiamkan diri melihat orang Melayu di Pulau Pinang diasak dan dipijak-pijak oleh DAP.  Hari ini, menjadi orang Melayu di Pulau Pinang, tak ubah seperti merempat di bumi sendiri.  Bukan sekadar jatidiri Melayu hancur, warna kulit kita pun dah dipersenda.  Mana mungkin DAP bukan parti rasis setelah menghina warna kulit YAB Menteri Besar Perak.  Mana mungkin saya tak terasa, warna kulit saya pun serupa.

Malah, selama ribuan tahun di seluruh dunia, warna kulit telah menjadi simbol penindasan, dan dengan sewenang-wenangnya mereka lontarkan kenyataan rasis sebegitu.

Barangkali PKR sudah mula sedar bahawa sokongan Melayu terhadap mereka semakin pudar.  Orang Melayu sudah sedar bahawa PKR tidak mampu memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa kita.  Lantas semasa Kongres PKR yang berlangsung baru-baru ini, mereka tampak begitu kemaruk kuasa dan terdesak sehingga menuntut kita meminda perlembagaan persekutuan agar menjamin hanya orang Melayu yang boleh menjadi Perdana Menteri.

Mereka merayu kepada UMNO meminda perlembagaan tidak lain tidak bukan kerana PKR khuatir sekiranya Pakatan pembangkang menang kelak, yang menjadi Perdana Menteri bukannya dari parti PKR mahupun PAS.

Mereka gusar dengan kuasa DAP yang tampil lebih mendominasi, lebih berkuasa dalam pakatan pembangkang dan terpaksa menggunakan UMNO sebagai jalan belakang, jalan penyelamat.

Tindakan ini menampakkan rasa saling curiga sesama pembangkang sehingga membuatkan PKR terpaksa meminta UMNO untuk membuat sesuatu yang boleh selamatkan mereka.  Barisan Nasional tidak perlu kepada pindaan perlembagaan ini kerana kita menaruh penuh keyakinan pada sistem muhibbah sedia ada serta semangat muafakat di kalangan ahli komponen BN.

Kita percaya UMNO mampu menawarkan kepimpinan kepada seluruh rakyat Malaysia.  Kita yakin tanpa peruntukan dalam perlembagaan pun, rakyat Malaysia keseluruhannya tetap menyokong kepimpinan Melayu yang adil kepada semua.

Ini jatidiri kita dalam UMNO yang bangga dengan kemampuan bangsa sendiri untuk terus memimpin negara.  Tapi tanpa jatidiri utuh, PKR berpeluh.  Terhegeh-hegeh minta UMNO pula pinda perlembagaan kerana tidak mampu mengatasi kuasa DAP merampas takhta Kerajaan sekiranya nauzubillah mereka menang.

Ketaatan PAS dan PKR terhadap kerakusan DAP ini nyata tidak bertepi.  Inilah masalahnya, apabila jatidiri bangsa runtuh dan musnah.  Maka, agama dan bangsa akan menjadi mangsa kelima pakatan jahanam.


Keenam: Menjahanamkan kemakmuran ekonomi negara

Dalam mengupas kesejahteraan ekonomi, pembangkang mengapung-apungkan kononnya mereka sebuah kerajaan yang bersedia memberikan segala-galanya secara percuma kepada rakyat.  Saya teringat akan satu pesan bidalan lama – yang manis jangan segera ditelan, yang pahit jangan segera dibuang.  Inilah formula Pakatan pembangkang.  Janji manis, pendekatan populis, negara muflis.

Kajian kita mendapati bahawa sekiranya janji-janji manis dalam Buku Jingga dilaksanakan, Malaysia akan bankrap seperti Greece dalam tempoh hanya 2 tahun.  Mana tidaknya, untuk mengotakan sebahagian janji manis kebajikan mereka, hutang Kerajaan akan mencecah RM617 bilion pada tahun kedua sahaja.

Maka kita akan mempunyai tidak lebih daripada setahun untuk bersorak-sorai meraikan kenikmatan sementara kehidupan percuma, sebelum terpaksa meratib penuh sesal kemusnahan ekonomi negara untuk beberapa generasi selepas itu.  Biarpun terdapat analisis yang menunjukkan kelemahan pendekatan sebegini, pembangkang tidak peduli.  Yang penting, mereka mampu memancing undi.

Jika mengikut pembangkang, negara akhirnya terpaksa melukut di tepi gantang – menagih bantuan daripada agensi seperti IMF.  Kita tahu sejarah Anwar yang rapat dengan IMF dan beliau rela menjadi pak sanggup mengheret negara kepada tuntutan luar demi kuasa.  Inilah masalahnya orang yang suka melalak.  Berteriak pandai, berfikir tidak.  Kuman seberang laut mereka nampak.  Gajah depan mata mereka sepak.  Pendek kata, kemakmuran ekonomi negara akan menjadi mangsa keenam, pakatan jahanam.

Awan datang lindungi bulan
Malam pekat sunyi rasa
Politik pembangkang sarat kebencian
Hasut rakyat demi kuasa

Dentam-dentum atas permatang
Orang mengemping padi muda
Melayu terpinggir di Pulau Pinang
Air Kelantan tak bersih jua

Tunggul kecil di tengah huma
Buat tanda antara sempadan
Biar apapun pembangkang cuba
Putrajaya tetap Pemuda pertahankan

Para perwakilan sekalian,

Jangan sekali-kali kita lalai, leka dan alpa.  Jangan kita dibuai kegemilangan silam.  Cabaran yang bakal kita hadapi pada PRU-13 ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya.  Inilah masa dan ketikanya Pemuda UMNO bangun untuk melakar kesinambungan perjuangan yang murni ini.

Pemuda yang ada pada hari ini, seperti mereka yang terdahulu, tidak mungkin lari dari medan perang.  Kita tahu betapa pentingnya perjuangan ini demi masa hadapan anak bangsa.

Saya yakin dan percaya setiap ahli Pemuda yang ada pada hari ini takkan gentar untuk menghadapi armada perang musuh dan berjuang bersama-sama pucuk pimpinan.  Hati gajah sama  dilapah, hati kuman sama dicecah.  Biar patah dahan berpaut, biar retak lantai berpijak, musuh datang pemuda tak takut, apa dugaan takkan berganjak.

Akhirul kalam, saya akhiri ucapan ini dengan satu sajak yang didedikasikan kepada kita semua semoga menjadi azimat untuk kita bersedia menghadapi cabaran yang paling getir dalam sejarah parti keramat kita.

Apabila engkau terasa hembusan angin fajar diiringi embunnya,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Rahsia silam bumi yang engkau pijak,
Lipatan sejarah langit yang engkau junjung?

Apabila engkau menegakkan panji-panji perang-mu,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Siapakah gerangan pejuang tidak bernama,
Yang dulu menggadai jiwa dan raga demi anak bangsa?

Apabila air mata berlinangan ketika engkau memohon restu bonda,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Apakah sebab mereka berjuang, tanpa mengira badai yang datang,
Apa cerita di sebalik cerita memungkinkan mereka mengorbankan semua?

Apabila anak-anak mu melambaikan tangan dan sayu engkau membalasnya,
Pernahkah engkau berhenti bertanya,
Bagaimana aku insan biasa dapat menebus segala jasa
Bagaimana aku manusia kerdil dapat meneruskan perjuangan mereka?

Apabila semboyan sudah berbunyi diiringi paluan gendang perang ini,
Apabila musuh bertentang mata, denyutan nadi semakin kencang,
Engkau tidak lagi perlu bertanya,
Kerana hari ini, ketika bahtera perang mereka semakin menghampiri,
Sudah tentu hari ini, di bawah kibaran panji-panji parti keramat kita ini,
Kita akan sama-sama teguh berdiri!

Ayuh Pemuda, Mari kita sama-sama berdiri!
Berdiri bukan mencari nama, Berdiri bukan mencari harta,
Berdiri kerana aku tidak mungkin lupa sejarah ku,
Berdiri kerana aku pewaris perjuanganmu,
Berdiri kerana aku siap siaga, terus sahaja bertarung nyawa

Ayuh Pemuda, Mari kita sama-sama berdiri!
Berdiri kerana aku Pemuda yang tidak gentar semua,
Berdiri kerana aku Pemuda penerus perjuangan bangsa!
Berdiri kerana engkau berdiri bersama, teguh kita pasti bersama, kekal utuh ke akhir masa.

HIDUP UMNO!  

HIDUP UMNO!  

HIDUP UMNO!



Berita Bertarikh 30 November 2011 12:38 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker