Kategori Berita Pilihan

60 Wakil Parti Politik Luar Negara Bakal Hadiri Forum Antarabangsa Sempena PAU 2011

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Seramai 60 wakil parti politik luar negara telah mengesahkan penyertaan ke Forum Antarabangsa yang akan berlangsung selama dua hari mulai 28 Nov ini sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 (PAU 2011) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Antara parti berkenaan adalah Al-Dawa dari Iraq, Democratic Party Japan (Jepun), The State of Qatar (Qatar), Parti Liberal (Filipina), Justice and Development Party (Turki), Al-Fatah (Palestin) dan parti National Unity (Kenya).

Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata forum itu akan membolehkan parti politik terlibat membina hubungan yang lebih erat selain bertukar-tukar idea dan pandangan mengenai isu politik yang melanda negara masing-masing.

“Untuk melihat masa depan dunia bukan hanya melibatkan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi kini banyak parti politik juga dapat membantu ke arah bagaimana untuk menangani masalah secara bersama,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan pembukaan forum itu yang bertemakan “Politik, Transformasi, Ekonomi dan Sosial di Era Krisis Global”, katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadual menyampaikan ucapan penutup forum, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga dijangka hadir untuk bersama-sama wakil politik pada forum itu, katanya.

Ahmad Shabery, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata seramai 63 duta asing di negara ini telah mengesahkan kehadiran manakala negara seperti China, Kenya dan Iraq pula akan menghantar wakil daripada kalangan menteri negara.

Seramai 374 wakil UMNO dan parti komponen Barisan Nasional termasuk kelab UMNO luar negara akan menghadiri forum antarabangsa itu, katanya.-MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 18 November 2011 6:35 PM