KUALA LUMPUR, 10 Nov. – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menegaskan bahawa kenyataan Setiausaha Penerangan DAP Tony Pua yang berhasrat mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya pembangkang memerintah kerajaan pusat telah mendedahkan siapa sebenarnya DAP.
Katanya, kenyataan tersebut menunjukkan betapa DAP ini bukan sahaja parti rasis tapi juga merasakan bahawa mereka telah memerintah negara ini walaupun belum diberi mandat oleh rakyat.
“Saya yakin dan percaya perkara ini tidak dikongsi oleh parti-parti di bawah pakatan pembangkang sendiri tetapi kerana keangkuhan DAP itu sendiri telah menyerlahkan betapa Tony Pua ini seorang wakil di bawah satu parti yang sering menuduh dan menuding jari kepada UMNO sebagai parti rasis,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama UMNO-Online.
Jelas beliau, jika dilihat dari segi komposisi kakitangan awam adalah terdiri daripada golongan Melayu dan Tony Pua mengeluarkan kenyataan demikian atas maksud yang tersirat.
“DAP ini adalah satu parti yang mengamalkan bukan saja nepotisme, rasis dan sebagainya tetapi sering mengambil peluang atas kelemahan-kelemahan yang ada di kalangan rakan-rakan parti pakatan itu sendiri seperti PKR dan Pas dan sudah tentu pada akhirnya merekalah yang akan memperolehi keuntungan dari segi politik,” katanya.
Tegasnya lagi sekiranya apa yang diperkatakan oleh Tony Pua iaitu mengurangkan tenaga penjawat awam maka tentunya ia tidak rasional.
“Kenyataan ini juga menunjukkan mereka tidak rasional dan sekiranya penjawat awam dikurangkan maka sudah tentu akan melumpuhkan pentadbiran negara.
“Kenyataan ini tentunya mewakili parti DAP dan pakatan pembangkang yang secara langsung menunjukkan mereka tidak dewasa dan tidak boleh mentadbir sebagaimana pentadbiran di negeri Selangor dan beberapa negeri di bawah pembangkang yang menunjukkan kelemahan-kelemahan ini telah terserlah.”
Tambah beliau lagi, apabila Tony Pua menjelaskan bahawa kenyataan tersebut bersifat peribadi maka ternyata bahawa perkara ini tidak dirancang dengan begitu rapi dan jelas mereka tidak mempunyai hala tuju untuk mentadbir negara yang mempunyai 28 juta penduduk.
“Ini bukan perkara main-main. Kenyataan sepatutnya tidak dikeluarkan atas diri individu dan sebagainya kerana mereka dilihat sebagai satu kepimpinan dalam pakatan,” katanya.
Ujarnya, sekiranya rakyat masih tidak sedar dengan apa yang cuba disampaikan oleh pakatan pembangkang sedangkan mereka ini tidur sebantal dan mimpi lain-lain, sudah tentu masa depan negara akan terjejas.
“Kita tidak mahu melihat negara ini kucar-kacir kerana kita mempunyai anak cucu yang akan mewarisi kepimpinan kita pada masa hadapan. Betapa sedihnya sekiranya kita biarkan perkara ini berlaku sedangkan kita ingin melihat satu kesedaran di kalangan rakyat khususnya generasi muda supaya dapat menilai satu demi satu lakonan mereka yang telah jelas menjejaskan negara.
“Kalau sebelum ini sentimen keagamaan dan perkauman dimainkan sehinggalah perkara mengenai sejarah diperlekehkan dan kenyataan terbaru daripada Tony Pua ini menujukkan mereka bertujuan untuk mentadbir negara ini bukan untuk memberi kebaikan kepada rakyat tetapi lebih kepada kesenangan diri masing-masing.” – MediaUMNO