Kategori Utama

Buang Separuh Kakitangan Awam, DAP Dicabar Laksanakan Dulu Di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 4 Nov – “Sekiranya DAP rasa cadangan mereka untuk mengurangkan kakitangan kerajaan adalah satu cadangan yang baik, laksanakan dulu di negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kedah. Berhentikan separuh daripada kakitangan kerajaan di negeri tersebut dan kita lihat apa yang akan terjadi.

”Jangan hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya. Saya sendiri tidak sabar melihat mereka melaksanakan perkara ini,” ujar Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Ab Samad, mengulas kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua baru-baru ini.

Tony Pua dalam kenyataannya seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina pada 1 November lalu berkata kerajaan DAP akan mengurangkan kakitangan kerajaan dan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam yang tidak effisen seperti yang dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Menurut Shahrir apa yang dikatakan oleh Tony Pua itu menggambarkan seolah-olah DAP berminat untuk menyelesaikan masalah ekonomi kononnya kerajaan yang ada sekarang adalah sebuah kerajaan yang besar dan kerajaan BN sekarang ini adalah kerajaan Melayu.

“Apa yang saya dapat lihat kenyataan tersebut seolah-olah berasaskan ekonomi tetapi apa yang tersirat adalah mereka hanya mahu menaikkan sentimen rasis di kalangan rakyat. Sebab itulah kenyataan tersebut hanya diucapkan di akhbar berbahasa Cina dan bukan di hadapan Cuepacs ataupun kakitangan kerajaan sendiri.

“Saya tidak rasa rakan sekutu mereka Pas akan bersetuju dengan cadangan ini. Tapi seperti kita sedia maklum, Pas hanya akan mengikut segala telunjuk DAP dan tidak akan membantah walaupun tidak bersetuju.

“Motif mereka hanyalah mahu menaikkan sentiment rasis dan bukannya berasaskan ekonomi. Sekiranya mereka benar-benar mahu melaksanakan apa yang mereka katakan ini, laksanakanlah di negeri pemerintahan mereka dan kita lihat apa yang akan terjadi selepas itu”, ujarnya.

Beliau seterusnya yakin sekiranya perkara ini dilaksanakan, ianya akan mendedahkan negara kepada masalah-masalah lain dan menyebabkan huru hara serta menyusahkan rakyat.

Untuk ulasan seterusnya, ikutilah rakaman temubual bersama Datuk Shahrir Samad di UMNO youtube. -MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 4 November 2011 11:40 AM