Kategori Eksklusif

Aziz Bari Biadap, Kenyataan Bersalut Politik Pertikai Titah Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, 12 Okt. – Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek menyelar kenyataan yang mengatakan tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk campurtangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu sebagai bukan sesuatu tindakan yang lazim.

Katanya, telah termaktub dalam Perlembagaan bahawa dalam setiap negeri, Raja adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing dan dalam hal ini, Baginda Sultan Selangor telah melaksanakan tugas yang sebenarnya.

“Walaupun sebelum ini ada Sultan atau Raja-raja yang tidak bertindak secara terang atau melaksanakan tugasnya tanpa sebarang hebahan tetapi Tuanku Sultan Selangor bertindak dengan kewajaran dan melaksanakan sepenuhnya keluhuran Perlembagaan,” katanya kepada UMNO Online.

Isnin lalu Sultan Sharafuddin telah melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan dalam hasil siasatan JAIS di DUMC.

Namun demikian, dalam kenyataan yang disiarkan oleh portal pro pembangkang Malaysiakini, Prof Dr Abdul Aziz Bari dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam negeri itu mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Malahan beliau secara terbuka menyifatkan tindakan Sultan Selangor dilihat tidak konsisten selain turut memberikan contoh pernah terjadi kejadian yang lebih teruk seperti bekas menteri besarnya merobohkan surau tertentu di Selangor tetapi pihak istana tidak campurtangan.

“Abdul Aziz telah bersikap biadap kepada Baginda kerana apa yang dinyatakannya seakan mempertikaikan kuasa Raja dan ia seolah-olah telah mencabar sistem kesultanan di Negeri Selangor sendiri.

“Apabila beliau mempertikaikan titah Baginda maka ini dilihat sebagai satu cubaan memperkecilkan kuasa Baginda terhadap tugas dan tanggungjawab atas penganut-penganut agama Islam dan Islam itu sendiri di negeri Baginda.”

Tegasnya, Tuanku Sultan Sharafuddin adalah payung mahkota Negeri Selangor dan melakukan tindakan wajar apabila mengambil berat hal-hal berkaitan negerinya apatah lagi dalam hal ehwal membabitkan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

“Baginda mempunyai kuasa pemutus dalam hal ehwal terbabit malahan apa-apa undang-undang yang berkaitan agama Islam dan istiadat orang Melayu yang dibuat di Persekutuan sekiranya tidak diterima oleh Raja sesebuah negeri maka ia tidak diterima pakai kerana Baginda adalah kuasa pemutus dan melaksanakan tanpa pilih kasih,” jelasnya.

Terang beliau lagi, jika insiden lain dijadikan perbandingan dengan apa yang berlaku baru-baru ini, maka itu adalah perkara yang berlainan.

“Ia adalah isu berasingan (isolated issue) dengan fakta berbeza maka tentunya keputusan yang dibuat juga akan berbeza sedangkan hal berkaitan pemeriksaan gereja Methodist tersebut dibuat kerana dikatakan berlaku berkaitan akidah umat Islam dan baginda telah meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat siasatan dan keputusannya telah dilakukan oleh pakar-pakar yang sememangnya arif berkaitan hal tersebut.

“Tentunya Baginda melihat kepada keadaan yang amat serius dan sebagai ketua negeri, Baginda inginkan siasatan dijalankan dengan rapi serta mengikut lunas-lunas perundangan.”

Tegas Abdul Halim yang juga Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), kenyataan Abdul Aziz seakan mahu menarik Raja ke kancah politik sedangkan Baginda mengeluarkan titah ekoran kebimbangannya apabila ada penganut agama Islam cuba dimurtadkan tanpa melihat kepada idealogi mana-mana parti sekali pun.

“Kenyataan Abdul Aziz ini dibuat bukanlah berteraskan Perlembagaan tetapi satu kenyataan yang bersalutkan politik semata-mata,” tegasnya lagi. -MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 12 October 2011 5:35 PM