Kategori Berita Lain

Pendidikan Untuk Anak-anak Selangor Makin Dibunuh Dan Dikhianati

HULU SELANGOR, 8 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor menyifatkan tindakan dan keputusan Yayasan Selangor yang mahu menutup dan merobohkan Asrama Pusat Yayasan Selangor, Asrama Tun Dr Ismail dan Asrama Toh Puan Norasikin Kuala Lumpur yang telah banyak berbakti kepada anak-anak Selangor sebagai bukti kezaliman kerajaan pakatan pembangkang terhadap rakyatnya sendiri.

Ketuanya, Mahmud Karim berkata, mana hilangnya laungan kerajaan berkebajikan, kerajaan rakyat sebagaimana yang mereka laung-laungkan dahulu, kini bila mula berkuasa habis segala harta Selangor mahu digadai dan dilelong, semata-mata mahu memenuhi kocek pemimpin-pemimpin dari PKR, DAP dan Pas walaupun harta dan asset yang mahu digadai dan dilelong merupakan asset pendidikan anak-anak Selangor.

“Hilang sudah motto kerajaan berkebajikan. Kini kita melihat motto itu sekadar satu slogan dan janji kosong bertujuan mengaburi mata rakyat demi mendapatkan kuasa di negeri ini.

“Kita sangat kecewa, terperanjat dan geram bila mendapat tahu Asrama Yayasan Selangor ini akan dirobohkan demi memberikan laluan kepada pembinaan Hub Komersil yang tentunya akan memberikan laba kepada saudagar-saudagar `elite kroni’ pakatan pembangkang,” ujarnya kepada UMNO-Online mengulas keputusan kerajaan Negeri yang mahu merobohkan asrama Yayasan Selangor.

Tegasnya, sebelum ini, Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sabak Bernam telah pun dikuburkan dengan alasan kerugian. Kini Asrama Yayasan Selangor pula hendak dikuburkan atas alasan keselamatan dan sebagainya.

“Apakah sebenarnya matlamat penubuhan Yayasan Selangor? Adakah ia sebuah entiti membuat keuntungan atau sewajibnya memberikan kebajikan pendidikan kepada anak-anak Selangor? Kebajikan pendidikan atau keuntungan wang ringgit?,”

“Hakikatnya kini, orang Islam dan orang Melayu di Selangor sekarang semakin ditekan dan ditindas dengan dasar-dasar kerajaan negeri yang ditentukan DAP, manakala PKR hanya sebagai boneka manakala Pas tidak mempunyai apa-apa kuasa ” tambahnya lagi

Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO Hulu Selangor menentang sekeras-kerasnya keputusan kerajaan negeri yang semata-mata berpaksikan kebendaan laba kewangan.

“Menteri Besar dan kerajaan negeri telah membunuh masa depan anak-anak Selangor yang berpotensi dalam pelajaran“, ujarnya.

Justeru Pemuda UMNO Hulu Selangor menuntut agar keputusan merobohkan Asrama Yayasan Selangor ini dibatalkan.

“Alternatifnya Yayasan Selangor wajib membina di Kuala Lumpur sebuah Asrama untuk anak-anak Selangor dengan kapasiti dan kelengkapan kediaman yang serupa sebelum Asrama Yayasan Selangor Tun Dr Ismail dan Asrama Toh Puan Norasikin hendak dimusnahkan“, katanya. -MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 8 August 2011 3:44 PM