Kategori Berita Pilihan Timbalan Presiden UMNO

Kerajaan Sedia Skim Pinjaman Mudah Untuk Kumpulan Berpendapatan Rendah

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kerajaan memperuntukkan RM8 juta bagi skim pinjaman mudah yang bertujuan menggalakkan kumpulan berpendapatan rendah melibatkan diri dalam francais kecil dan mikro sebagai pemegang francais. 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata langkah-langkah ini akan membantu rakyat meningkatkan paras pendapatan mereka,
yang mana seterusnya dapat meningkatkan daya saing negara secara keseluruhannya.

“Saya berharap kumpulan berpendapatan rendah akan mengambil peluang ini untuk meneroka perniagaan francais mikro bagi menambah pendapatan mereka,” kata beliau. 

Skim itu menawarkan pinjaman daripada maksimum RM50,000 sehingga serendah RM5,000 dengan kadar faedah hanya tiga peratus.

Muhyiddin berkata demikian pada perasmian Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menjelas selanjutnya mengenai skim itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia akan menumpukan terutamanya kepada francais kecil dengan modal permulaan kira-kira  RM15,000-RM20,000.

“Skim ini akan berguna bagi golongan muda yang mahu menubuhkan perniagaan berskala kecil, sebagai contohnya perniagaan burger yang memerlukan modal permulaan kira-kira RM7,000,” kata Ismail pada sidang akhbar selepas majlis tersebut.  

Ketika ini, pemilik-pemilik francais Malaysia beroperasi di 35 negara dengan 18 daripadanya di Indonesia, yang paling besar, diikuti oleh China sebanyak 15. 

Selain itu, terdapat juga kira-kira 700 pemegang francais tempatan di Arab Saudi yang terlibat dalam pelbagai bidang seperti makanan dan pendidikan.

Pameran itu yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, akan digunakan untuk menggalakkan pembangunan industri francais serta usahawan pemegang francais yang lebih berjaya di negara ini.

Pengerusi MFA Abdul Malik Abdullah berkata kira-kira 10,000 pengunjung dijangkakan tahun ini dengan pendapatan RM347 juta.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker