Keikhlasan, Kesetiaan Berjuang Bersama Parti Itu Yang Utama, Tegas Wanita UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 19 Julai – Wanita UMNO Sabah tiada halangan untuk menerima bekas-bekas ahli yang ingin kembali ke pangkuan UMNO setelah meninggalkan parti, ujar Ketuanya, Datuk Dr. Hajah Jainab Datuk S.P Haji Ahmad Ayid.

Tegasnya, apa yang penting dan utama ialah bekas ahli UMNO tersebut hendaklah membuktikan keikhlasan dan kesetiaan mereka untuk terus berjuang bersama-sama parti.

“Walaupun Wanita UMNO Sabah menyerahkan keputusan untuk menerima semula bekas ahli UMNO ini sepenuhnya kepada pucuk pimpinan peringkat negeri, namun perlu ada syarat-syarat yang perlu dikenakan.

“Wanita UMNO Sabah kini mengambil pendekatan dengan memberi tumpuan kepada gerak kerja dan agenda memulihkan kekuatan parti, ke arah persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, peranan Wanita UMNO sebagai jentera terbesar parti amat jelas iaitu untuk membina kembali kekuatan jentera Jalinan Rakyat (JR).

“Alhamdulillah, dengan keupayaan dan kudrat yang ada, kesedihan yang dirasai setahun lalu kini dapat kami bertatih kembali.

“Mesyuarat Wanita UMNO peringkat Cawangan-cawangan dan Bahagian juga telah selesai mengadakan persidangan masing-masing dengan jayanya.

“Ternyata Wanita UMNO telah menerima maklum balas yang sangat positif daripada Cawangan-cawangan,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang lain, Jainab turut mengatakan UMNO negeri akan mengadakan Konvensyen UMNO Sabah pada 14 dan 15 September ini.

“Dalam persidangan kali ini, Wanita UMNO akan mencadangkan dan mengesyorkan kepada pucuk pimpinan parti agar mempertimbangkan untuk mengadakan Pindaan Perlembagaan parti agar Wanita UMNO yang menjadi kluster terbesar parti dengan jumlah keahlian melebihi 38% keseluruhan keahlian UMNO diberikan beberapa pengiktirafan.

“Wanita UMNO juga mensyorkan beberapa perkara demi memastikan UMNO Sabah terus relevan serta bagi memenuhi tuntutan semasa landskap politik nasional dan negeri Sabah.

“Ini kerana kita memikirkan, kuasa autonomi harus diberikan kepada UMNO Sabah dalam menentukan hala tuju perjuangannya serta dalam mengurus tadbir UMNO Sabah,” tambahnya lagi.

Mengulas mengenai perubahan umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, Jainab berkata Wanita UMNO turut tekad sama-sama membantu parti bagi mendekati golongan terbabit.

“Mengambil kira Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat termasuk pelaksanaan pendaftaran automatik warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun susulan pindaan perlembagaan persekutuan, Wanita UMNO menyahut cabaran mendekati golongan tersebut dalam kumpulan sasaran gerak kerja.

“Sudah pasti akan berlaku pertambahan pemilih secara drastik termasuk empat juta yang belum didaftarkan,” katanya.

Selain daripada program turun padang dan kebajikan yang selalu dijayakan, Wanita UMNO juga jelasnya mengalu-alukan ahli-ahli memperkasakan bidang perniagaan dan keusahawanan yang berpotensi dibangun dan diusahakan di bahagian masing-masing. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.