Kategori Dari Bahagian

UMNO Bahagian Parit Mahu Pertahan Kawasan Di PRU 13

PARIT, 1 Jun – Ahli Parlimen Parit, Nizar Zakaria berkata, intipati mesyuarat Bahagian Parit yang lalu menekankan rasa semangat dan roh menjurus kepada kerja berpasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, semangat kerja berpasukan amat penting demi memastikan ketiga-tiga kerusi iaitu dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Belanja dan Bota serta satu kerusi Parlimen Parit terus dikekalkan menjadi milik Barisan Nasional (BN).

“Walaupun pembangkang masih terus terusan menjaja cerita memburukkan BN dan UMNO untuk meraih undi, kita harus terus menyakinkan rakyat kerana sehingga kini hanya kerajaan yang diterajui oleh BN sahajalah yang mampu mentadbir Negara secara bijaksana dan menjaga kepentingan semua bangsa.

“Walaupun Negara kita adalah Negara Islam tetapi kita sentiasa menjaga kepentingan semua bangsa dengan cara adil dan saksama. Semua bangsa boleh hidup bebas di Negara ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi PRU akan datang beliau berkata, semua cawangan telah diingatkan agar memberi sepenuh tumpuan kepada PRU 13 kerana satu perjuangan yang besar sedia menanti.

“Kita bukan sahaja harus memastikan BN menang tetapi mesti mendapat 2/3 majoriti. Semua jentera di peringkat cawangan mesti melakukan gerak kerja awal dengan mengemas kini senarai daftar  pengundi.

“Harus diingat, masih ramai ahli UMNO sendiri yang belum didaftarkan sebagai pengundi. Oleh itu kita harus mengesan setiap hali yang belum berdaftar agar segera menjadi pengundi. Sekiranya terlewat, mereka tidak akan boleh mengundi apabila tarikh PRU diumum kelak. Ini merupakan satu kerugian besar sekiranya terjadi.

“Kita juga harus melakukan kerja yang diamanahkan tanpa mengambil kira siapa yang bakal diletakkan sebagai calon kerana siapa sahaja yang telah ditentukan oleh pucuk pimpinan sudah pastilah mereka yang paling layak bertanding sebagai calon.

“Apa yang penting, perjuangan harus diteruskan untuk mengekalkan BN kekal mentadbir Bahagian Parit sekaligus merampas semua kerusi pembangkang di negeri Perak.  Agenda kita jelas, kita mahu BN terus mentadbir negeri Perak,” katanya kepada UMNO-Online. – MediaUMNO



Berita Bertarikh 1 June 2011 4:10 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker