Kategori Utama

Perjuangan UMNO Konsisten Untuk Agama, Bangsa Dan Negara

wacana tunKUALA LUMPUR, 10 Julai – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa perjuangan UMNO bukan untuk mana-mana pemimpin atau individu tertentu sebaliknya ia tetap kepada agama, bangsa dan negara.

Lantaran itu, katanya, perjuangan parti perlu diteruskan dan tidak boleh berpuas hati atas apa yang telah dicapai hari ini.

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) banyak membantu membangunkan rakyat bukan sahaja di kalangan orang Melayu walaupun dasar ini sebenarnya tidak mencapai matlamat sepenuhnya tetapi ia juga tidak menghalang kaum lain untuk mencapai kemajuan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi ucaptama sempena Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu Dalam Perlembagaan Persekutun dari Perspektif Satu Malaysia, anjuran Pertubuhan Gerak Gempur Pemikir Tanah Air Malaysia (Gempita) dengan kerjasama UMNO dan SS Prominent Minds (SSPM) di Dewan Merdeka, PWTC.

Dalam ucapannya yang bertajuk ‘Dilema Orang Melayu di Era Liberalisasi dan Globalisasi’ ini, beliau menekankan bahawa sikap bangsa Melayu yang perlu berubah dan mempunyai keyakinan terhadap masa hadapan tanpa takut pada tekanan.

“Nasib kita bergantung kepada kedudukan kita sendiri dengan usaha yang telah kita lakukan tanpa melihat kepada kemunduran yang telah dilalui sebaliknya membentuk keyakinan untuk mempertahankan hak kita tanpa mengambil hak orang lain,” tegas beliau.

Berkaitan dengan era liberalisasi dan globalisasi yang diperkatakan, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa ia hanya ciptaan kuasa-kuasa besar yang memperkenalkannya dengan niat untuk menguntungkan mereka sendiri.

“Kita perlu sedar bahawa Malaysia maju dan membangun seperti hari ini adalah atas usaha kita sendiri dan bukan kerana orang asing malahan kita tidak pernah terikat untuk terikut telunjuk kuasa besar biarpun kita pernah dilanda krisis mata wang,” katanya lagi.

Kerana itu, katanya, sekiranya masyarakat tidak bersedia dan tidak mengambil peduli kedudukan negara maka tidak mustahil negara akan kembali dijajah oleh kuasa asing.

“Kita telah buktikan bahawa kita berjaya sebagai sebuah negara berdasarkan kepada sistem yang kita gubal berserta kesanggupan kita untuk berkongsi kuasa dan kekayaan dengan bangsa lain di negara ini,” katanya.

Menyentuh berkaitan kedudukan ekonomi negara yang kini menurun sekitar 6.2 peratus untuk suku pertama tahun ini, beliau memaklumkan bahawa ia adalah ekoran daripada kegawatan dan masalah ekonomi global yang berlaku.

“Kita mampu untuk menjana ekonomi kita sendiri sekiranya kita dapat membangunkan ekonomi domestik dengan input datang daripada rakyat sendiri,” jelas beliau.

Dalam hal lain, beliau menekankan bahawa rakyat Malaysia hanya akan berjaya menjadi satu bangsa sahaja apabila terhindarnya sifat curiga mencurigai antara satu sama lain.

Wacana yang akan berlangsung selama dua hari ini akan membariskan golongan pemimpin dan ahli akademik sebagai penceramah yang antara lain ialah Tan Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah (Naib Canselor UiTM), Prof. Dr. Ramlah Adam (UiTM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari (UIAM), Datuk Sahlan Ismail (JPM), Datuk Salehuddin Saidin (SSA) dan Datuk Fuad Hassan (JASA).

Sesi terakhir wacana tersebut akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tajuk Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu Dalam Perlembagaan Persekutun dari Perspektif Satu Malaysia.



Berita Bertarikh 10 July 2009 1:44 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker