Kategori Berita Pilihan

Wang Ihsan RM14 Juta Untuk 70,000 Pelajar Miskin

KOTA BHARU, 1 Ogos – Kerajaan Pusat akan mengagihkan wang ihsan sebanyak RM14 juta kepada 70,000 pelajar yang layak sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Makhtar Mustapha berkata, pemohon perlu menghantar borang permohonan yang lengkap kepada JPP secepat mungkin bagi memastikan wang berkenaan dapat diagihkan dengan lancar.

Beliau berkata, setiap pelajar yang layak akan menerima wang RM200 untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan harian.

“Insya-Allah mereka akan menerima wang ihsan sebelum hari raya ini.

“Bagi sebuah keluarga, dihadkan hanya dua orang daripada anak mereka boleh menerima bantuan, kalau ada tiga yang memohon, maka yang layak hanya dua orang,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Mesra Rakyat anjuran Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan JPP Kelantan di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Aduan) BPA, JPM, Md. Zin Musa.

Sebanyak 12 agensi menjadi panel program tersebut termasuk Jabatan Kerja Raja (JKR), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam, Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Jabatan Pendaftaran Negara negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Jabatan Pelajaran negeri dan Jabatan Pertanian negeri mengambil bahagian.

Selain itu, Jabatan Kesihatan negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Air Kelantan Sdn. Bhd. dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Makhtar berkata, pihaknya menjangkakan pengagihan akan dilakukan bermula di Bachok diikuti daerah lain di seluruh negeri.

“Agihan akan dilakukan mengikut daerah, setakat ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin akan memulakannya dalam kawasan Bachok, diikuti tempat lain,” katanya






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker