Wujudkan Badan Bebas Pantau Pelaksanaan Projek 5G Negara – Fairuz

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaludin berpandangan kerajaan perlu mewujudkan badan pemantau bebas yang bersih dan telus untuk memantau perancangan keseluruhan serta setiap fasa Pelaksanaan Projek 5G Negara oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Katanya, ini termasuk proses bidaan, perolehan, pemilihan vendor, pelantikan kontraktor, mekanisme penentuan harga dan pengurusan kewangan, perundangan dan lain-lain aspek teknikal berkaitan.

“Badan pemantau bebas ini juga bertanggungjawab untuk memantau petunjuk prestasi utama DNB. Pemuda UMNO juga mengesyorkan agar badan pemantau bebas ini menyediakan laporan secara berkala kepada kerajaan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

“Keanggotaannya juga termasuklah wakil daripada agensi penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kami percaya melalui peranan yang akan dimainkan oleh badan pemantau bebas ini akan memastikan wujudnya aspek semak dan imbang serta pemisahan kuasa yang jelas bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti DNB sebagai entiti pelaksana.

“Aspek semak dan imbang serta pemisahan kuasa ini penting memandangkan DNB dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini berada di bawah tanggungjawab dan kawal selia kementerian yang sama iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM),” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Isu Projek 5G dan DNB malah turut menyarankan agar Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengemukakan satu laporan bebas yang menyatakan pendirian dan pandangan mereka mengenai model pelaksanaan 5G oleh DNB.

“Ini bagi memastikan cadangan model dan kaedah pelaksanaan 5G oleh DNB ini tidak membentuk persekitaran yang anti-persaingan, mewujudkan monopoli dan kemungkinan risiko kartel dalam industri telekomunikasi.

“Laporan bebas MyCC mengenai model pelaksanaan 5G negara oleh DNB amat penting dalam merungkai tanggapan wujudnya situasi monopoli dan risiko kartel dalam industri telekomunikasi.

“Akhir sekali, Pemuda UMNO ingin tegaskan dan mengambil pendirian bahawa segala persoalan, kebimbangan serta cadangan yang diusulkan mengenai pelaksanaan 5G dan peranan DNB adalah semata-mata untuk memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” tegas beliau.

Fairuz pada masa sama merakamkan penghargaan kepaada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa atas jemputan ke sesi libat urus dengan agenda utama iaitu taklimat berhubung Pelaksanaan Projek 5G Negara oleh DNB dan SKMM yang turut dihadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Taklimat tersebut dianjurkan susulan penyerahan memorandum Pemuda UMNO kepada kerajaan pada 21 Jun 2022 baru-baru ini yang antara lain telah membangkitkan beberapa isu berkaitan pelaksanaan 5G di Malaysia yang kini diterajui oleh DNB. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.