Salah Guna Wang Parti, Bekas Ahli Parlimen UMNO Perlu Disiasat SPRM – TUNTUT

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT) hari ini menyerahkan dokumen berkenaan salah guna kuasa oleh bekas tiga Ahli Parlimen UMNO kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Setiausahanya, Muhammad Zulhelmi Mansor berkata ianya juga bagi memperkuatkan lagi bukti salah guna wang parti yang telah dilakukan mereka seperti yang didakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Laporan daripada portal media melaporkan kenyataan Ahmad Zahid di dalam mahkamah semasa perbicaraan mendedahkan tentang salah guna wang parti oleh tiga orang Ahli Parlimen yang merupakan bekas pemimpin UMNO iaitu Ahli-ahli Parlimen daripada Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

“Saya percaya kepada kredibiliti kenyataan tersebut dan dengan mengambil kira bahawa kenyataan adalah dibuat secara bersumpah di dalam mahkamah.

“Ketiga-tiga Ahli Parlimen juga pernah disiasat oleh SPRM sebelum mereka keluar parti dan menyertai parti kerajaan pada masa itu mereka malah perlu bertanggungjawab terhadap kecurangan dan pecah amanah yang dilakukan sebagaimana pendedahan semalam,” tegas beliau.

Sementara itu, Muhammad Zulhelmi juga malah meminta agar pegawai-pegawai SPRM yang bertanggungjawab terhadap siasatan kes ini disiasat sekiranya menghentikan siasatan terhadap mereka semata-mata kerana telah melompat parti demi menutup kes salah guna tersebut.

“Ini bukan sahaja membabitkan salah guna wang parti malah adalah kes salah guna kuasa yang mereka ada demi kepentingan peribadi masing-masing agar tidak disabitkan dengan kesalahan dibawah Akta SPRM ini.

“Kita melihat situasi ketidakstabilan politik dalam kalangan Ahli Parlimen yang melompat parti sesuka hati ini sangat serius dan membimbangkan yang telah mewujudkan budaya politik tidak sihat dan contoh ikutan yang sangat tidak baik kepada imej negara,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.