Hal Dalaman UMNO, Biar UMNO Uruskan

Ketua Penerangan MIC hari ini meminta agar Dato’ Seri Presiden UMNO Dr. Ahmad Zahid Hamidi & YB Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional Dato’ Sri Najib Razak tampil memberi penjelasan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak TYT Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau meminta kepimpinan UMNO dan BN untuk tampil memberi penjelasan. Untuk makluman Sdr. Thinalan, YB Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan & Sdr. Ketua Penerangan Shahril Hamdan sudah tampil memberi penjelasan beberapa hari lepas.

Mungkin Sdr terlepas pandang kenyataan tersebut. Kerana itu la kembali bertanya betul atau tidak dakwaan ‘15 MP’ menandatangani SD menyokong Presiden PKR sebagai Perdana Menteri. Lihat siapa yang menjadi Perdana Menteri hari ini, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri yang mewakili Barisan Nasional.

Dalam perjuangan, yang penting adalah hasilnya. Apakah hasil kepimpinan YB Dato’ Seri Presiden UMNO? Menang 7 PRK, daripada cuma 1 ADUN kepada 14+2 ADUN di Sabah, mengambil alih negeri Perak, menang 21/28 (75%) PRN & menawan negeri Melaka di mana MIC menang satu kerusi dan menjadi Exco Kerajaan Negeri, menang 40/56 (71%) PRN & menawan negeri Johor di mana MIC menang 3 kerusi dan mendapat satu Exco Kerajaan Negeri dan yang terbesar, 15 MP mendesak, akhirnya Naib Presiden UMNO jadi Perdana Menteri Malaysia dan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri disahkan dalam mesyuarat MKT menjadi calon PM untuk PRU15.

Mungkin MIC lupa semasa MIC ‘tersilap’ masuk Perikatan Nasional. Ketua Penerangan UMNO tidak meminta agar MIC perjelaskan.

Sebab itu saya keliru apabila Ketua Penerangan MIC tidak membaca kenyataan Ketua Penerangan UMNO agar tidak perlu mengadu domba. Ingin bertanya, boleh sahaja bertanya pemimpin BN tanpa membuat kenyataan media.

Kita sudah berada di ambang kemenangan. Barisan Nasional masih berdiri utuh walau pun ditinggal oleh rakan-rakan komponen yang lain.

MIC tidak perlu memberi komentar tentang hal dalaman UMNO. Biar UMNO menguruskannya. Jurucakap UMNO sudah pun bersuara. MIC tak perlu tampil memanjangkan cerita.

Esok bila masuk PRU, MIC juga akan dibantu oleh jentera UMNO sepertimana kita telah pun membantu dalam PRN yang melihat kebangkitan semula MIC.

Nasihat saya kepada Sdr. Thinalan, usah jaga tepi kain orang. Fokus perkukuhkan MIC bagi menghadapi PRU dan meyakinkan masyarakat India untuk kembali ke Barisan Nasional.


Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Bahagian Ipoh Barat

************************************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.