PM Bawa Perjuangan Keluarga Malaysia, Kekal Prihatin Tangani Kos Sara Hidup – Dr Hamim


KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Dr Hamim Samuri meluahkan kesyukuran atas keprihatinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas tanggungjawab dengan baik sebagai Perdana Menteri, selain berterusan memperjuangkan keadaan rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup.

Katanya mengambil pendekatan proaktif, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) tambahan disalurkan juga adalah relevan dan sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat yang berhadapan dengan beban kewangan.

“Beliau prihatin, berani, holistik dengan mengambil pendekatan gagasan Keluarga Malaysia untuk pastikan rakyat sebagai sebuah keluarga tidak terhimpit dan tertekan dengan kenaikan harga barangan terutamanya membabitkan produk makanan.

“BKM ini juga adalah kontra bayaran subsidi ayam yang telah dipindahkan daripada penternak kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Dr Hamim juga malah menyambut baik langkah-langkah yang dilakukan kerajaan termasuk bertindak menghapuskan lesen import (AP) bahan makanan, tidak menaikkan tarif elektrik dan membatalkan cadangan mengapungkan harga ayam.

“Perdana Menteri mengambil pendekatan tidak menaikan tarif elektrik kerana kesannya akan mengakibatkan impak berantai akan menyebabkan harga barang yang meningkat maknanya akan menyebabkan inflasi yang lebih besar.

“Beliau bertindak secara menyeluruh kerana yakin harga barang ini boleh menurun dan bertahan kalau tidak ada monopoli daripada pihak pengusaha,” ujar beliau.

Terdahulu, Ismail pada minggu lalu mengumumkan tambahan BKM sebanyak RM100 bagi kategori isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang yang mula dikreditkan secara berperingkat mulai Isnain dengan jumlah keseluruhan bernilai RM8.0 bilion. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.