Pengekalan Subsidi Beri Kelegaan Besar Kepada Majoriti Keluarga Malaysia – Norliza

GEORGETOWN, 27 Jun – Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berpendapat, keputusan kerajaan meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat termasuk subsidi minyak masak berpeket dengan peruntukan RM4 bilion tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melegakan rakyat.

Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, keputusan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5.8 bilion serta langkah tidak mengapungkan harga ayam juga merupakan kelegaan besar buat rakyat.

Jelas beliau, keputusan itu merupakan tanda keprihatinan yang jelas oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat dalam meringankan beban dan kos kehidupan rakyat yang majoritinya masih bergelut dan terkesan dari sudut ekonomi ekoran pandemik Covid-19.

“Malah, sebahagian besar Keluarga Malaysia ketika ini juga masih memerlukan sokongan daripada Kerajaan Pusat untuk bangkit dan pulih semula daripada pandemik Covid-19 tersebut,” katanya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO dalam kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun menurut Norliza, pihaknya menyedari tekanan kewangan yang perlu dihadapi Kerajaan Pusat dengan keputusan meneruskan pemberian subsidi yang boleh memberi impak kepada dasar dan perancangan pembangunan negara secara jangka masa panjang.

Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya berpendirian langkah pemberian subsidi secara bersasar iaitu kepada kumpulan rakyat yang layak perlu segera dilaksanakan.

“Kita percaya mekanisme pemberian subsidi secara bersasar yang sudah dirancang khususnya di peringkat Kementerian Kewangan itu bakal dilaksanakan secara berhati-hati dalam memastikan keadilan kepada kumpulan rakyat yang layak dan dalam masa sama memastikan sumber negara kekal terjamin,” katanya.- UTUSAN

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.