6,276 Pemohon Diterima Bekerja Di Karnial Kerjaya Pemuda BN – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan Karnial Kerjaya Pemuda BN menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama golongan muda yang mencari peluang pekerjaan.

Jelas beliau, sepanjang tiga hari sebanyak 18,425 permohonan pekerjaan diterima daripada kesemua majikan yang menyertai karnival ini.

“Kita berasa amat bersyukur kerana Karnial Kerjaya Pemuda BN ini bukan omong kosong sahaja meskipun hanya tiga hari dengan masa yang singkat iaitu 9 pagi hingga 5 petang secara tuntasnya kita telah menerima permohonan pekerjaan 18,425.

“Manakala 6,276 telah diterima bekerja secara on the spot, saya ucapkan terima kasih kepada semua majikan-majikan yang telah bermurah hati menawarkan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting; Ketua Putera MIC, Kishva Ambigapathy serta Pengarah Program, Datuk Mohd Lassim Burhan dan kepimpinan lain.

Dr Asyraf yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sementara itu berkata karnival ini dilaksanakan atas dasar tanggungjawab kepada rakyat Malaysia teruatama selepas negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang menjejaskan peluang pekerjaan.

“… atas kesedaran ini pentingnya untuk kita hidupkan balik karnival ini sebagai satu pentas yang boleh menjadi penghubung antara pelbagai usaha-usaha murni kerajaan yang menawarkan pelbagai peluang-peluang pekerjaan di bawah kementerian dan agensi-agensi,” ujar beliau.

Jelas beliau, tanpa mengira identiti bangsa dan agama penganjuran ini memberikan tumpuan utama iaitu menawarkan peluang pekerjaan seiring dengan kemahiran dan kelulusan yang dimiliki.

“Kita mengambil tanggungjawab selepas daripada pasca pandemik ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan, tidak dapat cari pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan mereka, jawatan yang diberikan tidak setara dengan kelulusan dan kemahiran dimiliki anak-anak muda.

“Saya merasa syukur dan bangga kerana Karnial Kerjaya Pemuda BN walaupun terhenti sejak beberapa tahun kita hidupkan kembali pada saat dan ketika ini mengambil semangat yang seiring diwawarkan oleh Perdana Menteri sebagai teraju kerajaan Keluarga Malaysia hari ini yang mahu melihat rakyat khususnya anak-anak muda daripada pelbagai kaum.

“Kita tidak menyasarkan kepada sesuatu kaum sahaja tetapi seluruh rakyat di Malaysia yang hadir beramai-ramai sepanjang tiga hari ini,” katanya.

Program anjuran Pergerakan Pemuda BN/UMNO ini diadakan pada 24 dan berakhir pada hari ini menyaksikan lebih 20,000 tawaran pekerjaan ditawarkan meliputi kepada semua lepasan pelajaran.

Karnival yang kali terakhir diadakan pada 2017 itu merupakan acara penting selain merupakan jambatan kepada pelbagai inisiatif kerajaan dan sektor swasta dalam membuka peluang kerjaya terutama kepada golongan belia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.