Kadar Pengangguran Negara Menurun Kepada 3.9 Peratus – PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kadar pengangguran di negara ini mencatatkan trend penurunan sejak negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Jelas beliau mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga April 2022, kadar pengangguran negara telah berjaya menurun kepada 3.9 peratus berbanding 4.6 peratus bagi tempoh sama pada tahun 2021.

“Bermula 1 April yang lalu, negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik dan ini telah menjadi titik tolak kepada pemulihan ekonomi negara yang kini berada pada momentum yang baik.

“Ini merupakan kali pertama kadar pengganguran menurun di bawah empat peratus sejak pandemik COVID-19 dengan bilangan penganggur kekal pada trend menurun bagi sembilan bulan berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting; Ketua Putera MIC, Kishva Ambigapathy serta Pengarah Program, Datuk Mohd Lassim Burhan dan kepimpinan lain.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata pandemik COVID-19 sebelum ini telah mengubah landskap pekerjaan negara dengan kadar pengganguran pada tahun 2020 dan 2021 berada di tahap yang tertinggi iaitu pada kadar 4.5 peratus dan 4.6 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Penutupan beberapa sektor ekonomi menjadikan kadar penggangguran negara meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020 iaitu kadar pengganguran bulanan yang tertinggi pernah kita catatkan,” ujar beliau.

Tambah Ismail, pada tahun ini kerajaan menyasarkan peluang pekerjaan sehingga 600,000 dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Katanya dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) juga, beliau telah membentangkan pelan jangka sederhana bagi sektor pekerjaan negara menerusi Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 yang akan diperkenalkan bagi menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh.

“Justeru, kerajaan mengalu-alukan penganjuran karnival kerjaya ini yang merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran sebelum ini, supaya dapat membantu mengurangkan penggangguran melalui Polisi Pasaran Buruh Aktif.

“Karnival Kerjaya ini dilaksanakan sejak Oktober 2021 sebagai sokongan kepada komitmen Kerajaan bagi menjamin kelangsungan Keluarga Malaysia memiliki kehidupan yang baik selepas pandemik Covid-19,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.