Kerajaan Wajar Pertimbangkan Pakej Bantuan Khusus Untuk Kenaikan Kos Sara Hidup

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan wajar pertimbangkan pakej bantuan khusus untuk kenaikan kos sara hidup.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ini kerana mutakhir ini wujud ura-ura untuk kenaikan tarif elektrik.

“Bagaimana pun, kita tunggu keputusan Kerajaan dalam masa terdekat. Jika tarif elektrik dinaikkan, ia akan lebih membebankan lagi rakyat Malaysia dan kos sara hidup akan terus meningkat. Sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk rakyat menanggung sepenuhnya kenaikan kos sara hidup tanpa sebarang bantuan terus dari Kerajaan.

“Kerajaan seharusnya bersungguh-sungguh membantu rakyat dengan mengumumkan satu pakej bantuan ekonomi yang menyeluruh bagi menampung kenaikan kos sara hidup, seperti yang baru sahaja diumumkan Singapura,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facabooknya berkaitan hal terbabit.

Dalam hal ini, Zahid memberikan contoh bagaimana pemerintah Singapura memberikan sebanyak $1.5 bilion yang diumumkan termasuklah $100 pemberian kredit utiliti bagi setiap isi rumah.

“Tindakan yang hampir malah lebih baik wajar dilaksanakan oleh Malaysia, dengan memberikan rebat elektrik dan air, baucar makanan asas kepada isi rumah yang layak serta bantuan-bantuan lain yang wajar kepada sektor swasta.

“Memandangkan keadaan fiskal negara yang terhad, maka penggunaan teknologi dan pengagihan bantuan bersasar berdasarkan data yang tepat amatlah diperlukan. Ini bagi memastikan bantuan yang disalurkan tidak terjatuh ke tangan yang salah atau kurang layak.

“Selain daripada itu, saya sekali lagi ingin mencadangkan agar Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat sekali lagi dengan segera agar pandangan setiap NGO, pemain industri dan sektor swasta berkepentingan dapat diambil kira dan dipertimbangkan,” katanya yang sebelum ini pernah menyuarakan keperluan NACCOL untuk ditambahbaik keberkesanannya

Tegas Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, pakej bantuan khusus bagi menampung kenaikan inflasi atau kos sara hidup ini boleh dilakanakan sebelum pembentangan Belanjawan 2023 kerana ia begitu mustahak dan dan kritikal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.