BN Berpeluang Rampas Kembali Parlimen Sepang – Ahmad Zahid

SEPANG, 12 Jun – Barisan Nasional (BN) berpeluang merampas kembali kerusi Parlimen Sepang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana kerusi itu pernah dimenangi gabungan politik berkenaan dan hanya terlepas kepada parti lawan akibat tsunami politik yang berlaku pada PRU14.

“Kali ini kita sendiri wujudkan tsunami politik supaya yang pernah kalahkan kita akan merasa kekalahan itu.

“Pemimpin dan ahli BN di Sepang perlu melakukan apa saja bagi menyantuni kira-kira lebih 100,000 pengundi,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan bakal haji dan Sambutan Ulang Tahun ke-48 BN peringkat Parlimen Sepang malam tadi.

Presiden UMNO itu turut mengingatkan semua ahli dan pemimpin BN di Sepang supaya tidak memikirkan siapa calon yang akan bertanding pada PRU15 sebaliknya meminta mereka bekerjasama bagi memenangkan BN.

Kerusi Parlimen Sepang, yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Sepat, Sungai Pelek dan Dengkil, ketika ini disandang oleh Mohamed Hanipa Maidin daripada Parti Amanah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.