Ismail Sabri Ucap Tahniah Kepada Soh Berjaya Sebagai Nombor Satu Dunia

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh pelari menara negara, Soh Wai Ching yang mengesahkan statusnya sebagai nombor satu dunia selepas mengungguli kategori keseluruhan saingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, Amerika Syarikat Sabtu lepas.

Menerusi catatan di Facebooknya, Ismail Sabri berkata Keluarga Malaysia amat berbangga dengan pencapaian Soh dan berharap beliau terus mengekalkan momentum kejayaan.

“Tahniah Soh Wai Ching kembali ke status nombor satu dunia!.

“Keluarga Malaysia… jadikan kejayaan yang telah diukir oleh ahli keluarga kita sebagai inspirasi untuk sama-sama membina kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” menurut perkongsian itu.

Atlet berusia 27 tahun itu memenangi acara pendakian 2,226 anak tangga dan 104 tingkat bangunan One World Trade Center dengan catatan 12 minit 46 saat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.