Kerajaan Sedia Bantu Kontraktor Pan Borneo Hadapi Masalah – Fadillah Yusof

SRI AMAN, 9 Jun – Kerajaan sedia membantu kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo yang berhadapan masalah seperti kekurangan tenaga kerja serta kenaikan kos bahan pembinaan susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata apabila pandemik COVID-19 melanda, ramai pekerja yang terlibat dengan projek itu telah pulang ke negara asal mereka, menyebabkan kontraktor projek itu kini hanya mampu bekerja dengan kapasiti 70 peratus tenaga kerja berbanding sebelum pandemik.

Beliau berkata bekalan bahan mentah seperti batu juga pasir pula terkesan akibat penutupan kuari serta lombong, manakala harga barang-barang yang terlibat dalam sektor pembinaan seperti diesel, besi dan bahan asas lain dilihat telah meningkat.

“Kita akan kenal pasti bagaimana kita akan atasi masalah ini dan kita juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk tangani kenaikan kos bahan pembinaan,” katanya kepada pemberita yang menyertai program Jelajah FTRoadpedia Sarawak di sini, hari ini.

Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula hari ini hingga 11 Jun itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.

Fadillah berkata walaupun berdepan cabaran, 83 peratus daripada projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah pun disiapkan, dan menurutnya walaupun ada beberapa pakej di dalam lebuh raya itu yang lewat daripada jadual, namun tidak dikategorikan sebagai projek sakit kerana pakej itu masih mampu disiapkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.