Jurang Pendapatan Miskin Dan Kaya Melebar Ketika Pentadbiran PH

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pakatan Harapan (PH) bahawa jurang pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini melebar ketika pentadbiran mereka.

Namun pada ketika ini katanya, pembangkang bertindak mengkritik kerajaan melalui dasar-dasar yang diperkenal meskipun ianya dilakukan demi kepentingan rakyat.

“… yang labelkan kerajaan campuran hari ini sebagai kerajaan cap ayam adalah pembangkang… yang kuat mengambil kesempatan menghentam dasar kerajaan sejak kebelakangan ini pembangkang.

“Sehinggakan keputusan melarang eksport ayam bagi mencukupi keperluan rakyat turut dikecam tetapi apabila disaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar rakyat diberi mandat memilih sebuah kerajaan baharu pembangkang marah.

“Mereka membentak dan tuduh yang menyarankan PRU15 tidak peduli dengan nasib rakyat B40 pula,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata sedangkan PRU15 adalah langkah paling demokratik untuk rakyat memperolehi semula sebuah kerajaan yang kukuh.

Katanya membentuk sebuah kerajaan stabil dan kukuh ini penting bagi meneruskan usaha-usaha membantu rakyat yang lebih efektif.

“Lagipun memang itu yang dipersetujui iaitu kerajaan campuran hanyalah sementara sehingga PRU15 cuma untuk kesinambungan pentadbiran negara apabila kerajaan 22 bulan tumbang dengan sendirinya.

“Saksikan juga menteri berkaitan makanan, komoditi dan ekonomi kerajaan sedia ada dari parti mana? Dulu pembangkang beri alasan COVID-19 oleh itu PRU15 tidak boleh diadakan, kini alasan inflasi pula,” ujar beliau.

Tambah beliau, alasan demi alasan pembangkang ini sebenarnya mendedahkan kekhuatiran sebenar mereka untuk berdepan penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya demi mendapat kuasa.

“Mahu ‘membeli masa’ untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi dan menipu rakyat sekali lagi.

“Insya-Allah dengan kembali sebuah kerajaan yang mampan apa jua cabaran dapat negara kendalikan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau menerusi hantaran sama juga turut menjawab dakwaan daripada pemimpin pembangkang yang mendakwa bahawa dirinya tidak cakna dengan situasi semasa rakyat.

“Tidak pernah sesekali diri ini melupakan golongan memerlukan sepanjang melangkahi kehidupan ini.

“Segala bantuan diberi perlukah dihebahkan sedangkan yang dicari adalah keredaan dan keberkatan Ilahi.

“Tangan kanan memberi, sebaiknya tangan kiri tidak perlu tahu, atau ianya tidak boleh dipakai lagi di zaman sekarang ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.