Permit Import Gandum Dibatalkan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan permit import (AP) gandum dibatalkan.

Beliau berkata perkara berkenaan dipersetujui Ahli Jemaah Menteri pada Mesyuarat Kabinet hari ini yang diawalkan sehari bagi membincangkan isu peningkatan kos sara hidup dan penawaran bahan makanan.

“Semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas selesai mempengerusi mesyuarat Kabinet.
Sebelum ini, Ismail Sabri turut mengumumkan pemansuhan AP bahan makanan dalam langkah memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Isu jaminan bekalan makanan menjadi perhatian serius bermula selepas Indonesia dilapor melarang eksport kelapa sawit, kemudian diikuti langkah India yang melaksana larangan eksport gandum.
Terbaharu, ayam menjadi isu negara selepas dilaporkan bekalannya berkurangan dalam negara.

Perdana Menteri hari ini turut mengumumkan AP ayam dimansuhkan termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport menyediakan lebih banyak sumber bekalan sebagai antara langkah jangka pendek mengatasi isu bekalan ayam buat masa ini.
— BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.