Pindaan Perlembagaan Demi Kestabilan Parti – Presiden

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pindaan Perlembagaan parti membawa erti yang cukup besar.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pindaan tersebut mempunyai mesej yang amat jelas iaitu demi kestabilan parti.

“Kestabilan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, PRU akan datang, kestabilan UMNO untuk mengembalikan maruah perjuangan dan kestabilan UMNO untuk mempersiapkan pewaris kesinambungan sebuah perjuangan.

“Apa maknanya agenda kestabilan yang kita tawarkan kepada rakyat, seandainya dalaman parti kita sendiri tidak tenteram. Parti berpecah, wujudnya puak dan kelompok yang pada akhirnya merugikan kita semua.

“Ingatlah, kita tidak sanggup melihat UMNO menjadi kucar-kacir. Ingatlah, kita tidak sanggup melihat parti berpecah-belah. Ingatlah, selepas biduk berlalu, kiambang belum tentu bertaut kembali. Perpecahan hanya akan merugikan UMNO,” tegasnya ketika memberi amanat sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Katanya juga, di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, parti telah menawarkan kestabilan sebagai jaminan untuk kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya lagi, kestabilan amat penting untuk dipertahankan.

“Sejarah UMNO, telah memperlihatkan bagaimana Perlembagaan dan Peraturan UMNO, sentiasa melalui proses pindaan.

“Ia dilakukan agar sesuai dengan keadaan semasa, di samping untuk membendung masalah dalaman, yang boleh menjejaskan kedudukan parti secara keseluruhannya,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, sejak tahun 1990 sehingga kini, sebanyak tiga kali pindaan Perlembagaan UMNO telah dilaksanakan berkaitan dengan soal pemilihan.

“Selepas berlakunya ‘pertembungan maha’ pada tahun 1987, yang menjadi Presiden UMNO ketika itu telah mencadangkan supaya parti memperkenalkan sistem 10 undi bonus, bagi setiap pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Akhirnya parti telah meminda Perlembagaan, memasukkan sistem 10 undi bonus sebagai salah satu kaedah dalam pemilihan.

“Selepas pemilihan tahun 1993, sistem 10 undi bonus bagi setiap pencalonan masih tidak dapat menjamin wujudnya ‘ketenangan’ politik. Pada tahun 1998, Perlembagaan dipinda lagi, dengan memperkenalkan sistem kuota pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti,” katanya.

Namun imbasnya lagi, atas keperluan semasa dan menilai perubahan corak politik negara, pada tahun 2009 Perlembagaan parti telah dipinda dengan membuka ruang pemilihan yang lebih luas.

“Dengan pindaan tersebut, kuasa memilih tidak lagi terletak di tangan 2,510 orang perwakilan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO, tetapi diperluaskan ke peringkat perwakilan Bahagian, melibatkan seramai 146,500 orang.

“Langkah ini telah meletakkan UMNO lebih ke hadapan, dalam meraikan amalan demokrasi berbanding parti politik lain termasuk yang berjenamakan demokratik,” katanya.

Seterusnya ulas Ahmad Zahid, tidak kurang juga dalam soal memastikan kestabilan, tanpa meminda perlembagaan parti pernah membuat keputusan supaya jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Namun, pada pemilihan Jun 2018, setelah 30 tahun kerusi Presiden tidak dipertandingkan sejak 1988, saya sendiri yang ketika itu menjalankan tugas-tugas Presiden, telah mencadangkan agar semua jawatan parti termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan. Cadangan tersebut dipersetujui oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi.

“Inilah fasa-fasa yang berlaku di dalam UMNO yang mematangkan kita dan memantapkan parti untuk terus relevan di persada politik tanah air,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.