Perhimpunan Agung Khas UMNO Simbolik Perpaduan Ahli Parti, Patuh Lunas Peraturan

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Perhimpunan Agung Khas UMNO yang berjalan lancar dan mencapai matlamatnya Ahad lalu meenjadi bukti bahawa persidangan adalah pentas perpaduan dalam kalangan ahli parti ini.

Persidangan ini membawa fokus utama iaitu untuk meminda Perlembagaan parti seperti terkandung di dalam perkara yang telah diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang lalu.

Bagi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Hakasah Abu Hasib, beliau meluahkan kesyukuran bahawa persidangan kali ini diadakan atas kesepatan yang dicapai pada PAU 2021 lalu.

“Syukur alhamdulillah perhimpunan kali ini diadakan susulan usul pindaan yang dibawa dalam sidang sebelum ini yang mana ianya dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang lebih terperinci untuk difahami oleh ahli-ahli parti.

“Selepas PAU ini saya yakin dan percaya ahli UMNO akan bekerja lebih menjurus kepada menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ianya lebih penting daripada kita sibuk dengan pemilihan parti.

“Jadi ini memberi ruang dan peluang untuk ahli parti bekerja lebih keras untuk memastikan PRU15 dapat kita menangi,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Pandangan sama turut dipersetujui oleh Setiausaha UMNO Bahagian Titiwangsa, Mohd Nor Ibrahim yang menyifatkan bahawa persidangan ini menunjukkan komitmen parti dalam mengikut peraturan ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Ini sebagai memenuhi satu peraturan oleh RoS, saya yakin pindaan Perlembagaan tidak akan menjadi masalah dan saya juga pasti RoS akan meluluskan pindaan yang kita cadangkan petang ini.

“Kehadiran sebanyak 2,500 orang iaitu lebih daripada dua pertiga ini menunjukkan UMNO begitu prihatin dan peka tentang Perlembagaan itu sendiri dengan tujuan untuk kita melakukan pemilihan UMNO selepas PRU.

“Itu ketetapan yang kita dapati daripada akar umbi,” ujar beliau.

Sementara itu bekas Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Datuk Abdul Aziz Sapian turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti yang komited dalam meneruskan budaya parti ini yang sentiasa mengikut lunas peraturan dengan mengadakan persidangan ini.

“Terima kasih kepada kepimpinan parti yang mengikut budaya UMNO dan patuh kepada arahan Perlembagaan dan RoS, parti ini unik kerana peraturan demi peraturan kita ikut bukan seperti parti lain yang ikut suka hati mereka sahaja.

“UMNO ini ada sistem mengikut lunas Perlembagaan sebab itu PAU Khas ini diadakan untuk meminda Perlembagaan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.