Perjuangan UMNO Tersemat Dari Dulu Hingga Ke Hari Ini, Tetap Relevan Bersama Rakyat – Azhari

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ulang tahun UMNO yang disambut saban tahun pada 11 Mei adalah satu tarikh yang yang amat bermakna buat seluruh ahli serta pendokong parti berkenaan yang terus memperjuangkan agenda perjuangan yang tersemat kemas sehingga ke hari ini.

Bagi Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari itulah kelebihan dan itulah sebenarnya keistimewaan yang ada pada UMNO sekaligus membuktikan parti keramat berkenaan relevan sehingga ke hari ini.

Menurut beliau kelahiran UMNO bukanlah secara tiba-tiba sebaliknya sebelum merdeka dengan pengisian perjuangan yang tersendiri sehinggalah ke hari ini yang dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat pelbagai peringkat.

“Semalam ulang tahun UMNO ditubuhkan iaitu 11 Mei 1946. Sebagai parti politik yang lahir untuk memperjuangkan agenda bangsa Melayu yang merupakan penduduk majoriti di negara ini, UMNO dan pemimpinnya masih relevan.

“Hari ini UMNO yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) yang mana pemimpinnys Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus berbakti tanpa jemu. Sebagai sebuah parti politik UMNO tidak lari daripada ditimpa pelbagai ujian sejak mula ditubuhkan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi sejak sebelum merdeka, perjuangan UMNO bersama rakan-rakan yang lain menerusi BN telah berjaya membangun dan membina negara Malaysia.

“Harus diingat parti keramat orang Melayu dan Bumiputera Sabah ini bukan wujud tiba-tiba, tetapi bermula sejak sebelum merdeka dan watak penting rundingan untuk merdeka adalah dari UMNO sendiri semasa YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menjadi Presiden.

“Bersama-sama pemimpin parti MCA dan MIC rundingan kemerdekaan telah membuahkan hasil yang mana kita telah merdeka pada 31 Ogos 1957. Sejak itu sejarah terus tercipta yang mana Malaysia adalah negara membangun paling pantas di dunia.

“Kepada pemimpin UMNO dan ahli UMNO mari kita teruskan agenda bangsa Melayu tanpa jemu tanpa ragu. Pilihanraya Umum (PRU) ke 15 semakin hampir, bulatkan tekad kuatkan azam untuk terus menerajui negara ini. Ayuh!” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.