Sambutlah Ulang Tahun UMNO Penuh Tawadhuk, Terus Kekalkan Rahsia Kejayaan Parti – Norshida

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim melihat UMNO mempunyai rahsianya yang tersendiri apabila terus kekal relevan dalam menyelusuri perjuangan sehingga ke hari ini.

Menurut beliau 76 tahun perjuangan, pimpinannya bertukar ganti tetapi UMNO masih utuh dengan perjuangan sucinya, malah UMNO terus berkembang dan relevan dengan sentiasa mengamalkan teras ‘politik khidmat bakti’, ‘peduli rakyat’, bersifat adil, amalan kesederhanaan dan layanan mesra kepada semua kaum.

“Jika diimbas kembali, banyak parti darioada serpihan UMNO, namun ianya masih tidak berupaya menandingi kekuatan dan kehebatan UMNO… apa rahsianya? pertama struktur parti yang bertunjangkan akar umbi, cari dan sebut sahaja nama UMNO, sentiasa berada dimana-mana ceruk di desa atau kampung, di penempatan setinggan, di rumah pangsa, di rumah teres malah di kediaman-kediaman mewah, kondominium juga ada UMNO.

“Keduanya keikhlasan perjuangan ahli-ahlinya sejak penubuhannya sehingga sekarang yang sering memikirkan agenda agama, bangsa dan negara.

“Manakala ketiganya sifat inklusif yang dijelmakan di dalam hieraki parti yang menjadikan parti sentiasa segar walaupun telah berusia hampir 80 tahun selaras dengan peredaran masa dan aspirasi rakyat yang serba dinamik dan kompleks,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tambah Norshida lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, UMNO bukan hanya sebuah parti tetapi adalah sebuah perjuangan.

“Perjuangan nenek moyang kita sebelum ini dan sekarang generasi millenia seperti kita bertempur di arena politik bukan untuk diri sendiri tetapi untuk nusa bangsa. UMNO sentiasa memastikan kemakmuran negara yang dikecapi dikongsi bersama, keadilan sosial dan hak diantara kaum sentiasa berada dalam kerukunan, keharmonian dan terpelihara dengan jitu.

“Kerana itulah apabila PH memerintah selama 22 bulan, kesan dan impaknya terlalu besar sehingga merosakkan dasar-dasar fundamental yang dibina untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat selama ini terabai dan tidak terpelihara dengan baik.

“Akhir kata, buat ahli-ahli UMNO kita sambutlah hari UMNO dengan penuh kesyukuran dan tawadduk. Jadikan pengajaran hilang kuasa selama 22 bulan sebagai pedoman untuk membawa UMNO lebih berjaya dan terus menabur bakti sehingga 100 tahun lagi, Insya-Allah. Selamat Ulang Tahun UMNO Yang ke-76,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.