Tidak Perlu MoU 2.0 Kerajaan Pembangkang, Sampai Masa Perlu PRU – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan tidak perlu dilanjutkan lagi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan dan pembangkang.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, bagi menghormati MoU yang ditandatangani antara kedua-dua pihak sebelum ini, ia seharusnya cukup setakat tarikh yang dipersetujui sahaja.


“Perhimpunan Agung UMNO telah membuat ketetapan bahawa pilihan raya hendaklah diadakan mengikut MoU yang telah ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang iaitu jeda waktu yang ditentukan pada akhir Julai dan tarikh-tarikh selepasnya.

“Maka bagi menghormati MoU itu kita tidak mahu adanya MoU 2.0. Ia cukup setakat itu sahaja.

“Manakala di dalam ucapan penangguhan Presiden, Timbalan dan Naib Presiden nombor satu telah memutuskan bahawa pilihan raya umum diadakan setelah Tuanku Agong dinasihati oleh Perdana Menteri,” katanya kepada UMNO Online baru-baru ini di program turun padang beliau di Bagan Datuk.

Untuk rekod, pada 13 Sept tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) telah menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Kerajaan juga bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai tahun ini.

Seterusnya, Ahmad Zahid yakin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO nombor satu akan mengikut ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2021 lalu.

“Jadi tentu Perdana Menteri mengikut ketetapan yang telah dibuat oleh jurucakap negeri bahawa ‘top five’ (Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden) akan berbincang mengikut mandat yang telah diberikan oleh perwakilan untuk kita membuat ketetapan.

“Dan keputusan ‘top five’ dibawa pemakluman kepada Majlis Kerja Tertinggi dan tarikh itu mengikut kesesuaian setelah perkenan Tuanku,” katanya lagi.

“Top five” merujuk kepada Presiden iaitu Ahmad Zahid, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 lalu juga memutuskan pemilihan parti ditangguh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.