Bukan Setakat Bagan Serai, Banyak Lagi Kawasan Lain Pas Boleh Minta Daripada PPBM

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Jika Pas ingin menuntut kawasan parlimen yang disandang daripada Parti Pribumi Bersatu (PPBM) pada pilihan raya umum akan datang, bukan sahaja Parlimen Bagan Serai malah banyak lagi kawasan lain yang boleh diusulkan.

Demikian tegas Ketua UMNO bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang mempersoalkan bukankah Pas boleh melihat dan merasai sendiri bagaimana jentera PPBM pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan juga Johor baru-baru ini.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau seterusnya berhujah sebab itulah UMNO menolak PPBM selain niat tersembunyi parti berkenaan terhadap UMNO.

“Memang ada benarnya Pas Kawasan Bagan Serai tuntut kerusi dari PPBM untuk Parlimen Bagan Serai bagi PRU-15 nanti.

“Alasan yang saya baca memang sangat kukuh dimana Pas Kawasan Bagan Serai menyatakan bahawa mereka mempunyai jentera dan fasiliti yang cukup berbanding PPBM yang tiada jentera dan fasiliti.

“Sebenarnya bukan Parlimen Bagan Serai sahaja Pas perlu tuntut. Malah Pas perlu tuntut lebih banyak kerusi Parlimen di kawasan lain dari PPBM disebabkan PPBM tiada cukup jentera dan hanya menumpang jentera Pas sahaja. Kerusi Pas perlu lebih banyak dari PPBM pada PRU15 nanti. PAS sendiri boleh rasai dan ambil pengalaman di PRN Melaka dan Johor. Adakah mereka cukup jentera,” katanya.

Tambah Azhari lagi kerusi parlimen Bagan Serai hari ini adalah dimenangi menerusi tiket UMNO/BN pada pilihan raya umum yang lalu,

“Kerusi Parlimen Bagan Serai sekarang pun kerusi yang dimenangi BN-UMNO dimana Ahli Parlimen tersebut lompat ke PPBM. Sebab itu UMNO tolak PPBM, selain niat utama PPBM untuk kuburkan UMNO. Bodohlah UMNO jika masih bekerjasama dengan PPBM. Ini adalah sekadar pendapat saya sahaja…,” ujarnya.

Memetik laporan, Pemuda Pas kawasan Bagan Serai dilaporkan meminta Perikatan Nasional (PN) memberi laluan kepada Pas untuk bertanding kerusi Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Mohd Hanif Abd Karim berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Pas kawasan Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid menerusi memorandum yang dihantar pada 21 Mac lalu.

Menurut beliau, tuntutan itu berasaskan fakta-fakta kukuh kerana antaranya Pas kawasan mempunyai bilangan jentera, cawangan yang lebih kuat dan banyak berbanding parti gabungan lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.