Dua Minggu PRN Johor Berlalu, Ketiadaan Calon MUDA Di Parlimen Muar Masih Dipersoal

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang selesai melabuhkan tirainya dua minggu lalu bukan sahaja menimbulkan pelbagai pandangan, malah turut memberikan bermacam persepsi terhadap situasi sepanjang PRN berkenaan.

Penyertaan parti baharu, MUDA yang dipimpin Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abd Rahman turut menarik tumpuan dan menimbulkan tanda tanya apabila parti berkenaan tidak meletakkan calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Muar.

Ketua UMNO Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menerusi catatan di Facebooknya melihat perkara tersebut sememangnya menimbulkan tanda tanya apabila MUDA tidak bertanding di kawasan Syed Sadiq.

“Walaupun sudah dua minggu semenjak PRN Johor, masih ada rakan-rakan yang bertanya saya mengenai kesan dari pilihan raya negeri itu. Antara perkara yang diminta pandangan dari saya ialah tentang parti MUDA yang menyertai PRN Johor. Penyertaan MUDA juga seiring dengan julung-julung kalinya pengundi berusia 18 tahun ke atas mendapat hak mengundi.

“Tambah lagi, seorang calon parti itu telah menang di DUN Puteri Wangsa. Adakah kemenangan ini, mereka bertanya kepada saya, disebabkan oleh pengundi muda? Jawapan kepada soalan sama Ada MUDA berjaya menguasai undi orang muda mungkin perlu melihat kepada trend pengundian di saluran-saluran pengundi muda bagi setiap satu DUN,” katanya.

Kata beliau lagi analisa meneyeluruh belum lagi dibuat secara terperinci namun apa yang diutarakan di atas sesuatu yang pelik.

“Bagi saya, analisa ini belum lagi saya lakukan secara terperinci bagi kedua-dua DUN di bawah UMNO Johor Bahru. Jadi buat masa ini, saya hanya mampu memberi jawapan secara umum sahaja. Mungkin apabila dibuatkan analisanya, saya boleh memberi dapatannya.

“Buat masa ini, komen saya tentang penyertaan MUDA dalam PRN Johor ialah saya merasakan agak pelik mengapa MUDA tidak meletakkan calon-calonnya di DUN-DUN di kawasan parlimen Muar. Peliknya begini. Ahli parlimen Muar adalah YB Syed Sadiq sendiri dan tentunya kewibawaannya cukup kuat untuk menangkan calon-calon tajaan pemimpin tertinggi MUDA itu.

“Kalau pun Syed Sadiq tidak bertanding diperingkat DUN sebagai mana Mas Ermieyati pada PRN Melaka dan Dr Mazlee pada PRN Johor, sekurang-kurangnya Syed Sadiq boleh meletakkan proksinya bagi kawasan-kawasan DUN bawah Parlimen Muar. Mungkin strategi seorang ketua,” soalnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.