Menjelang PAU 2021, Pasti Manis Dengan Dua Kemenangan PRN – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Walaupun baru selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pastinya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang bakal berlangsung bermula 16 Mac ini pastinya manis dengan dua kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini iaitu di Johor dan Melaka, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Ujarnya, Setiausaha Kerja (SUK) UMNO telah mengepalai raptai PAU 2021 hari ini bersama kakitangan Ibu Pejabat UMNO untuk kelancaran persidangan tersebut.

“Kali ini PAU tentunya penuh dengan kemeriahan kerana kemenangan pada dua PRN iaitu Melaka mendapat 21 kerusi daripada 26 kerusi dan terbaru di Johor mendapt 40 kerusi daripada 56 kerusi iaitu lebih dua pertiga keseluruhannya.

“Ini semua tentunya menggembirakan sidang perwakilan UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta pemerhati dari seluruh negara.

“Apapun prosedur operasi standard (SOP) tetap dilakukan iaitu separuh dewan pengisiannya serta menggunakan dewan-dewan tambahan bagi program PAU tahun ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Ahmad Maslan, pada PAU 2021 ini terdapat beberapa keistimewaan termasuk juga UMNO yang menyambut ulang tahun yang ke-75 tahun pada 11 Mei ini.

“Antaranya adalah anugerah Tokoh UMNO Negeri-negeri yang mana terdapat 14 tokoh UMNO negeri. Pertandingan sayembara puisi, logo UMNO sempena ulang tahun UMNO yang ke-75 tahun dan video pendek yang menceritakan kejayaan UMNO selama 75 tahun.

“Itu adalah kelainan selain semangat untuk membuat persiapan bagi memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15,” katanya lagi.

Terdahulu beliau meninjau persiapan PAU 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), iaitu lokasi persidangan parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.