Jangan Tunggu Saat Akhir, Tunaikan Tanggungjawab Kita – Calon BN Bkt Naning

MUAR, 12 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning Datuk Hj Mohd Fuad Tukirin berharap para pengundi dapat keluar awal menunaikan tanggungjwab masing-masing sebelum pusat pengundian ditutup.

Beliau yang membuang undi bersama isterinya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Hitam di sini seterusnya menambah dalam cuaca baik mereka yang layak mengundi diharap tidak menunggu saat-saat akhir tempoh pembuangan undi.

“Kepada seluruh pengundi di DUN Bukit Naning, keluarlah beramai-ramai menunaikan tanggungjawab proses demokrasi negara,” katanya.

Sementara itu di DUN Maharani (Muar), pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, Muar kelihatan sedikit lengang pada tengah hari dengan kelibat beberapa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menanti kehadiran para pengundi.

Manakala di SMK Sultan Abu Bakar, di sini senario yang serupa juga dapat dilihat dengan petugas SPR sabar menunggu kehadiran penduduk setempat untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Turut kelihatan kereta yang mengangkut pengundi dengan ‘sticker’ Jom Naik Kereta BN serta kenderaan daripada parti-parti lain di DUN tersebut.

Manakala di DUN Bentayan, SK Parit Setongkat di sini, proses pengundian cukup teratur dan penduduk pelbagai kaum yang mengundi di sekolah berkenaan cukup selesa dengan proses pengundian yang cukup lancar. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.