Namakan Calon Menteri Besar Pun Susah, Macam Mana Hendak Tadbir Negeri?

JOHOR BAHRU, 7 Mac – Rakyat khususnya pengundi di Johor mengakui agak janggal dengan parti-parti yang masih belum mengumumkan calon menteri besar ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah memasuki minggu kedua.

Bagi Wan Saiful Bahri Wan Nawi, 44 tahun yang merupakan seorang ahli perniagaan mengakui bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) termasuk juga Pejuang walaupun pertama kali menyertai pilihan raya.

“Setahu saya parti-parti ini belum ada lagi calon menteri besar… pada pendapat saya nampak mereka pun macam tidak ada hala tuju sebab tidak ada seorang pun yang hendak diketengahkan sebagai calon walaupun parti mereka ini adalah sebuah gabungan yang besar.

“Sebagai rakyat kita boleh menilai kalau itu pun tidak boleh sepakat macam mana hendak tadbir negeri berbeza dengan BN (Barisan Nasional) yang mengekalkan seorang pemimpin yang bersih, cekap dan efisien,” katanya.

Sementara itu, pendapat sama turut dilontarkan Rahmah Abdullah, 52 tahun yang menyifatkan mereka ini tidak mempunyai keberanian untuk menamakan calon menteri besar berkemungkinan disebabkan ada krisis dalaman yang berlaku.

“Mereka berdepan kesukaran untuk tentukan menteri besar mungkin juga ada perbalahan dalam kalangan mereka nak buat keputusan pun susah macam mana hendak tadbir.

“Mesti lagi susah lagi berterabur macam dahulu masa jadi kerajaan berbeza dengan BN yang kekalkan Datuk Seri Hasni Mohammad. Saya suka pentadbiran beliau yang prihatin rakyat.

“Jelas tunjukkan bahawa BN juga yang sentiasa kehadapan berani untuk membawa agenda rakyat,” ujar beliau.

Manakala bagi, Jaminah Kasbi, 57 tahun beliau tidak nampak calon terbaik selain Hasni untuk dijadikan menteri besar kerana percaya kredibiliti yang ditampilkan oleh calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu.

“Saya kenal Hasni… beliau berpengalaman, saya tak nampak pun calon menteri besar dari parti lain selain Hasni yang diketengahkan oleh BN.

“Parti BN sahaja sebab yang saya lihat sebelum ini yang mentabdir negeri sangat terbaik berbanding sebelum ini sehinggakan menteri besar Johor tukar dua kali mungkin juga disebakanka tidak ada berpengalaman,” katanya.

Terdahulu, PN menerusi kenyataan Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum ini enggan mendedahkan nama calon menteri besar malah berkata ia hanya akan diumumkan Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, PH menerusi Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh juga telah memaklumkan calon menteri besar adalah bukan keutamaan kepada parti itu malah ianya tidak pernah dibincangkan sehingga kini oleh pucuk pimpinan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.