Kestabilan Politik, Potensi Ekonomi Johor 2018 Jadi Pilihan Aramco Labur RM31 Bilion

JOHOR BAHRU, 2 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata pada tahun 2018 lalu ketika menjadi menteri yang bertanggungjawab ke atas rundingan antara Petronas dan Aramco, beliau tahu Aramco mempunyai banyak pilihan lokasi selain di negara ini khususnya Johor.

Katanya, antara lain mereka boleh sahaja melabur di negara jiran seperti Singapura, Indonesia ataupun di India.

“Tetapi Aramco akhirnya memilih Johor kerana mereka meletakkan nilai premium kepada faktor kestabilan politik, pengalaman kerajaan dan potensi pulangan keuntungan berasaskan prestasi ekonomi negeri Johor dan Malaysia.

“Itulah sebabnya kenapa Datuk Hj Hasni bin Mohamad dan Barisan Nasional (BN) menjanjikan “kestabilan demi masa depan” sebagai slogan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung sekarang,” katanya dalam satu catatan di Facebook malam tadi.

Tambah Abdul Rahman, Menteri Besar Johor itu faham dan tahu bahawa untuk Johor kembali menjadi harimau ekonomi di rantau ini, kestabilan politik dan pengalaman serta ‘track record’ kerajaan adalah satu perkara yang wajib dikembalikan ke negeri Johor dan Malaysia.

Justeru itu, seru Abdul Rahman, pada 12 Mac nanti pertimbangan inilah yang mesti dalam pemikiran bangsa Johor sewaktu mereka memangkah dalam pilihan raya negeri itu.

Di dalam hantarannya, Abdul Rahman turut mengimbau peristiwa empat tahun lalu pada 1 Mac 2018, syarikat Aramco telah menandatangani perjanjian bersama Petronas berjumlah RM31 bilion untuk pelaburan Aramco di RAPID, Pengerang, Johor.

“Pelaburan berjumlah RM31 bilion ini adalah pelaburan yang paling terbesar dalam sejarah Malaysia.

“Sebenarnya jumlah RM31 bilion yang dilabur oleh Aramco itu hanyalah sebahagian dari jumlah keseluruhan pelaburan yang dijangka dilabur oleh syarikat-syarikat gergasi minyak dan gas dari seluruh dunia berjumlah US27 bilion (RM119 bilion),” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.