Drama PRN, Tohmahan Musuh Politik UMNO Mulakan Aksi – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan pelbagai tohmahan yang dikeluarkan oleh musuh politik parti demi memberi kepuasan mereka apatah lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Bagaimanapun katanya, perkara yang paling menghairankan adalah segala tuduhan yang dilemparkan itu tidak dilakukan pada musim tiada pilihan raya.

“Menjelang sahaja musim Pilihan Raya Kecil (PRK) atau PRN, akan keluarlah cerita, pemimpin UMNO bawa fail. Pemimpin UMNO buat rundingan. Pemimpin UMNO itu, pemimpin UMNO ini.

“Jika tidak ada pilihan raya, tidak keluar apa-apa cerita. Tiada fail, tiada rundingan. Sekali pun pada masa tersebut, si penjaja cerita memegang jawatan tertinggi dalam negara tetapi oleh kerana tidak ada pilihanraya – PRK atau PRN – maka semua cerita yang dikatakan itu seperti tidak perlu didedahkan.

“Dalam cerita-cerita ini, prinsipnya mudah – kebenaran itu berpilih-pilih. Perkara yang dianggap jahat dan menyalah gunakan kuasa hanya akan menjadi salah dan jahat jika tidak menyebelahi pihak mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional itu juga mengatakan bahawa sebaik sahaja Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuasa, beberapa siri tekanan telah diberikan.

Berikut merupakan siri tekanan tersebut yang dikongsikan beliau:

a) UMNO mesti menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan saya sendiri serta mana-mana pemimpin yang berselisih secara peribadi dengan mana-mana pemimpin PH dan Bersatu.

b) Pemimpin-pemimpin UMNO mesti dituduh dan didakwa sebanyak mungkin. Melainkan mereka bersetuju untuk menyertai Bersatu, maka tuduhan-tuduhan tersebut akan digugurkan serta merta, seperti keistimewaan yang diberikan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang pada mulanya dituduh namun digugurkan tuduhan mereka.

c) Pemimpin UMNO mesti membuktikan mereka bersih dan tidak bersekongkol dengan kejahatan dengan cara membubarkan UMNO sepenuhnya.

d) Pemimpin UMNO mesti mengelakkan diri dari disiasat dengan membawa masuk seramai mungkin ahli dan pemimpin UMNO ke dalam Bersatu.

e) Pemimpin UMNO dianggap sebagai terus bersalah sekali pun pendakwaan atau perbicaraan mahkamah masih berjalan. Manakala, jika pemimpin di pihak mereka seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Lim Guan Eng yang didakwa, mereka bukan kluster mahkamah dan prinsip innocent until proven guilty terpakai kepada mereka. Tetapi tidak kepada pemimpin UMNO.

“Jadi, saya tidak pelik. Cerita pemimpin UMNO bawa fail, merayu, berunding atau apa sahaja. Semua itu akan terus keluar. Dan percayalah, saya memberi spoiler awal di sini. Selepas ini pasti akan lebih banyak cerita.

“Kita tunggulah selepas penamaan calon dan tempoh berkempen dalam PRN Johor nanti. Pelbagai cerita pemimpin UMNO akan terus dijaja. Strategi mereka, jika tidak boleh menyerang calon-calon UMNO di Johor, alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.