KPT Salur Bantuan Hampir RM4 Juta Kepada Mangsa Banjir

BATU PAHAT, 14 Jan – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menyalurkan bantuan sebanyak hampir RM4 juta kepada mangsa banjir melalui agensi-agensinya, universiti-universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, semenjak pertengahan Disember tahun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata bantuan tersebut terdiri daripada 43,806 kotak sumbangan merangkumi makanan dan keperluan asas dengan nilai sebanyak RM3.625 juta selain bantuan kewangan berjumlah RM364,000 yang telah disumbang dan diagihkan kepada mangsa yang terkesan.

Beliau berkata bantuan berkenaan diberikan bertujuan meringankan beban mangsa setelah ramai terpaksa menanggung kerugian dan kerosakan pelbagai harta benda akibat banjir.

“Atas keprihatinan itu, KPT telah menggerakkan Misi Menyantuni Mangsa Banjir seawal 19 Disember 2021 lagi.

“Penyaluran sumbangan dan operasi bantuan banjir KPT ini melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang dan Johor dengan lebih dari 20 daerah, termasuk dua daerah angkat iaitu Kuala Langat di Selangor dan Temerloh di Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Noraini lagi, misi bantuan diteruskan hari ini dan semalam di Mersing dan Pagoh melibatkan pemberian sebanyak 2,500 kotak bantuan keperluan kepada mangsa yang terkesan.

Beliau berkata bantuan kali ini merupakan sumbangan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Noraini berkata secara keseluruhannya, kementerian turut menggerakkan seramai 23,745 sukarelawan meliputi 4,610 sukarelawan daripada KPT dan agensi serta 19,135 sukarelawan dari universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Selain memberi bantuan dan menggerakkan sukarelawan daripada kalangan warga kerja dan mahasiswa IPT, sebanyak sembilan kemudahan IPT iaitu enam Universiti Awam (UA) dan tiga Politeknik dan Kolej Komuniti turut dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 1,320 mangsa banjir, tambah beliau. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.