Jana Kembali Sumber Ekonomi, Sektor Pelancongan Perlu Tumpuan Kerajaan Pusat

BENTONG, 10 Jan – Kerajaan pusat hari ini diharap dapat membantu dalam usaha untuk memulihkan semula kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan ramai termasuk di Kampung Janda Baik, Pahang apabila terjejas teruk ekoran banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Kebudayaan, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin ketika lawatannya ke Pulau Santap di sini memberitahu kawasan berkenaan antara lokasi yang paling teruk dilanda banjir pada 18 Disember lalu apabila lebih separuh daripada 54 resort dan chalet terkesan.

“Lawatan ke Pulau Santap, Janda Baik, Bentong, kawasan yang paling teruk terkesan oleh banjir. Lebih separuh dari 54 resort dan chalet terkesan.

“Kita akan memohon kerajaan Pusat peruntukan khas bagi memulihkan kawasan kemudahan awam dan jalan raya serta beberapa jambatan yang runtuh akibat banjir kepala air,” katanya kepada UMNO-Online.

Sharkar seterusnya berharap agar pinjaman-pinjaman mudah untuk pengusaha resort serta chalet supaya ianya dapat kembali beroperasi seperti biasa dalam usaha merancakkan kembali aktiviti pelancongan yang juga antara sumber ekonomi penduduk setempat lain.

“Kita berharap Janda Baik dapat kembali beroperasi secepat mungkin kerana pelancongan merupakan punca pendapatan ramai penduduk setempat. Ramai yang akan terkesan dengan penutupan sementara chalet dan resort di sini,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.