Banjir: UMNO Kekal Fokus, Cakna Rakyat Beri Bantuan Sewajarnya – Abdul Mutalif

PETALING JAYA, 3 Jan – Fenomena bencana alam yang melanda kali ini menjadi saksi bahawa keprihatinan UMNO yang cakna dan fokus memberikan bantuan berterusan kepada mangsa banjir, kata Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Jelasnya, atas dasar tanggungjawab ini beliau menggerakkan jentera parti terutama di bahagian tersebut bagi meringankan beban golongan terjejas yang semestinya merasakan cabaran dengan ujian dihadapi.

“Hari pertama kita sudah turun membantu dari segi menyelamatkan mereka yang dilanda musibah selepas itu air sudah surut kita turun padang untuk buat pembersihan dari rumah ke rumah seperti di Taman Buana yang paling kritikal.

“Alhamdulillah saya kerahkan Wanita serta Pergerakan Pemuda, Puteri dan ahli jawatankuasa bahagian untuk turun membersihkan dan membantu mereka yang dilanda musibah.

“UMNO/Barisan Nasional (BN) berpisah tiada bersama rakyat khususnya di Parlimen Petaling Jaya dan juga rakyat Malaysia terbukti jauh lebih baik untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang meneruskan Misi Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat UMNO di Taman Mesra Batu 3, di sini Ahad.

Jelas Mutalif lagi, tidak hanya fokus kepada bencana alam pihaknya juga komited membantu rakyat sepanjang negara berdepan dengan penularan COVID-19.

“Kalau kita lihat COVID-19 kebajikan kepada rakyat diteruskan apatah lagi musibah banjir ini… kita turun sedia membantu sehingga ke hari ini masih lagi berterusan perkhidmatan kami ini.

“Macam banjir ini kita turun dengan Datuk Seri Ahmad Maslan membantu di kawasan ini memberikan sumbangan sebaik mungkin untuk meringankan sedikit bebanan golongan yang terjejas,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.