390 Ketua Isi Rumah Terima Bantuan Wang Ihsan Di Melaka

ALOR GAJAH, 29 Dis – Sebanyak 390 daripada 2,528 ketua isi rumah di Melaka yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sehingga hari ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata BWI berkenaan mula diagihkan kerajaan negeri sejak malam tadi selepas menerima sejumlah RM400,000 daripada kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kita menyambut seruan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) agar BWI ini diserahkan kepada ketua isi rumah secepat yang mungkin. Kalau boleh ketika mereka ini masih lagi di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut Daerah Alor Gajah yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Kamel Mohamad di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah di sini hari ini.

Sulaiman berkata pemberian BWI berkenaan akan diagihkan dari semasa ke semasa sehingga ia selesai diberi kepada kesemua keluarga yang terjejas dengan bencana itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.