Peruntukan Awal Pasca Banjir RM100 Juta Baiki Rumah, Infrastruktur – PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata kerajaan memahami bahawa banyak kerosakan berlaku akibat banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.

“Seperti sedia maklum, kerajaan pada September 2021 telah meningkatkan kadar bantuan wang ihsan iaitu RM1,000 bagi setiap isi rumah, dan kita akan mempercepatkan bayaran kepada kawasan terlibat banjir seperti Selangor dan enam negeri yang lain,” kata beliau.

Perdana menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan banjir di sini.

Dalam masa sama, Ismail Sabri berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan dan syarikat berkaitan kerajaan(GLC) telah bersetuju untuk menyalurkan sumbangan secara geran padanan bersama-sama dengan pihak kerajaan.

Pada peringkat awal ini, masing-masing bersetuju untuk menyediakan peruntukan RM20 juta, kata perdana menteri.

“Maknanya kalau RM20 juta (masing-masing dari kerajaan dan GLIC/GLC, (keseluruhannya) RM40 juta, kita ada ‘back to back’ geran padanan dari kerajaan dan GLC. Ini adalah antara bantuan yang diberikan secara segera bagi membantu mengurangkan bebanan mangsa-mangsa banjir,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata sehingga hari ini, sebanyak 103 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan di lapan daerah di seluruh Selangor, yang meningkat daripada 48 PPS semalam.

“Di dalam PPS, semua isu berbangkit seperti ketiadaan makanan akan diselesaikan hari ini…makan malam dan sarapan esok akan disediakan oleh kerajaan negeri Selangor dan bermula esok makan tengah hari disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” kata beliau.

Selain itu, Kementerian Kesihatan akan menyediakan jururawat, doktor serta peralatan perubatan seperti pelitup separuh muka, pensanitasi tangan dan bekalan ubat-ubatan di semua PPS.

“Saringan COVID-19 melalui RTK Antigen juga akan dilakukan di setiap PPS untuk memastikan semua mangsa banjir selamat daripada jangkitan COVID-19,” kata perdana menteri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.