UMNO Rembau Mohon Usul RUU Anti Lompat Parti Dipercepatkan

REMBAU, 18 Dis – Mesyuarat UMNO Bahagian Rembau sebentar tadi memutuskan beberapa usul termasuk memohon supaya akta anti lompat parti dipercepatkan untuk dibawa ke Parlimen kerana ianya menyebabkan ketidakstabilan politik kepada negara.

Timbalan Presiden merangkap Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab ini memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Kita pastikan supaya diadakan rang undang-undang (RUU) agar dapat mencegah wakil rakyat yang boleh dijual beli politik mereka setelah menang dalam pilihan raya.

“Jadi saya minta UMNO Rembau membuat usul pada hari ini supaya menggesa kerajaan ahli-ahli Parlimen kerajaan mahu pun pembangkang supaya mempercepatkan pembentangan RUU ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

Sementara Mohamad turut memaklumkan usul lain yang dibawa adalah menggesa supaya parti untuk memegang teguh kepada resolusi Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk menempuh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tanpa bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Walau bagaimanapun kita tidak menutup pintu kepada parti lain namun jelas sekali UMNO/Barisan Nasional (BN) berjalan berseorangan untuk menghadapi PRU-15 ini.

“Kita tidak mahu terikat dengan ikatan yang boleh mengekang kita tetapi apa jua rundingan diadakan selepas PRU-15 untuk menubuhkan kerajaan bagi mengukuhkan kestabilan politik itu boleh dibincangkan selepas PRU-15,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.