Lebih 24,000 Peluang Pekerjaan Ditawar Di Karnival Kerjaya 100 Hari AKM

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Sebanyak 24,300 peluang pekerjaan melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Program berkenaan berlangsung selama empat hari mulai hari ini sehingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia merupakan antara usaha kerajaan untuk merancakkan usaha mewujudkan peluang pekerjaan terutama kepada golongan belia, selaras dengan teras meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, beliau berkata di bawah inisiatif penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), seramai 14,740 pelajar telah mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan melalui Program GetHired@KPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Melalui portal MyFutureJobs, Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 55,528 penempatan pekerjaan daripada pelbagai sektor telah dilaksanakan melalui portal ini,” katanya ketika berucap merasmikan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi tempoh 1 Sept hingga 9 Dis, sejumlah 728,444 kekosongan telah didaftarkan di portal yang sama.

Kerajaan, katanya, telah menggariskan enam teras atau fokus utama dalam pencapaian 100 hari iaitu menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial; mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan bantuan yang dapat memperkasakan kesejahteraan sosial Keluarga Malaysia.

Menurutnya peruntukan RM8.2 bilion melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) disalurkan kepada 9.6 juta penerima yang layak tanpa mengira latar belakang kaum secara berperingkat.

Beliau berkata Yayasan Keluarga Malaysia yang dilancar pada 23 Okt lepas adalah sebagai manifestasi kasih sayang untuk menjaga kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak yang terkesan akibat COVID-19 dan bencana lain.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada lapan penerima.

Beliau kemudiannya meluangkan masa melawat beberapa reruai kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.