Rakyat Berhak Tahu Kenapa Kerajaan Terdahulu Batal HSR KL-Singapura – Ahmad Jazlan

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Ahli Parlimen Machang, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub  berpandangan kerajaan wajar untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berkenaan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, ia perlu dinyatakan dengan alasan yang kukuh berserta data-data kerana kesan daripada kegagalan pelaksanaan projek tersebut membawa kepada kerugian sehingga negara perlu membayar pampasan yang tinggi kepada negara jiran tersebut.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan masih berhasrat untuk meneruskan projek HSR Kuala Lumpur-Johor Baharu.

“Beliau berkata, kajian mengenai laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru yang bermula pada Februari telah siap dan dijangka dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

“Saya berpandangan rakyat Malaysia berhak mengetahui kenapa, dan berdasarkan data apa yang mendokong kerajaan membuat keputusan untuk membatalkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dengan membayar pampasan RM320 juta kepada kerajaan Singapura untuk digantikan dengan projek HSR Kuala Lumpur ke Johor Baharu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Malah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan itu turut membandingkan unjuran jumlah penumpang, jumlah hasil pendapatan tambang HSR dan kos projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dengan KL-Johor Baharu.

“Unjuran jumlah penumpang setahun dikatakan akan turun 10.4 juta orang (28 peratus) dari 37.3 juta ke 26.9 juta penumpang manakala hasil pendapatan tambang akan menurun RM352 bilion dari RM929 bilion ke RM577 bilion sekiranya HSR Kuala Lumpur-Singapura diganti dengan HSR Kuala Lumpur-Johor Baharu.

“Sebaliknya, penjimatan kos projek HSR Kuala Lumpur-Johor Baharu cuma RM3.6 bilion ataupun 5.3 peratus lebih murah berbanding projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

“Sebanyak RM3.3 bilion juga akan dibayar kepada syarikat ERL untuk menaik taraf sistem ERL KLIA-Kuala Lumpur Sentral sedia ada manakala pampasan antara RM5.7 bilion hingga RM7.7 bilion telah diperuntukkan sebagai bayaran pampasan kepada syarikat ERL bagi tempoh projek,” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan beberapa perkara termasuk tindakan kerajaan terdahulu dalam meneliti data-data tersebut sebelum mengambil keputusan membatalkan HSR KL-Singapura.

“Adakah angka-angka ini tertulis dalam kertas Kabinet yang dibentang semasa jemaah menteri membuat keputusan pada akhir tahun 2020 lepas untuk membatalkan projek HSR KL-Singapura untuk diganti dengan projek HSR Kuala Lumpur-Johor Baharu?

“Kenapa syarikat ERL telah dipilih terdahulu dan siapa pemegang saham terbesar syarikat Express Rail Link Sdn Bhd (ERL)?

“Kenapa kos RM3.3 bilion diperuntuk untuk membayar syarikat ERL untuk menaik taraf sistem ERL sedia ada dan mengapa pampasan sehingga RM7.7 bilion telah diperuntuk untuk dibayar sebagai pampasan kepada syarikat ERL?,” soal beliau.

Terdahulu pada Januari 2021, Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawat dari Singapura, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan projek HSR sepanjang 350 kilometer ditamatkan.

Menerusi kenyataan itu, ia berpunca apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember lalu. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.