Perlis Tawar Enam Insentif Untuk Tarik Minat Pelabur – MB

KANGAR, 9 Dis – Kerajaan Negeri Perlis menawarkan enam insentif kepada pelabur termasuk berkaitan tanah dan cukai dalam usaha menarik minat mereka untuk melabur di negeri itu.

Malah, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata berdasarkan maklumat pihak Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Perlis juga merupakan negeri yang menawarkan insentif paling menarik kepada pelabur berbanding Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Menurutnya, kesemua insentif itu adalah di bawah Pakej Insentif Rangsangan Pelaburan Pasca COVID-19 yang diluluskan oleh kerajaan negeri berkuat kuasa mulai 1 Feb lepas hingga 31 Dis tahun depan.

Katanya, insentif pertama melibatkan pengurangan premium tanah pada kadar antara 10-30 peratus, insentif kedua bayaran cukai tanah secara berjadual manakala insentif ketiga berkaitan pengecualian bayaran caj perkhidmatan sebanyak RM1,000.

“Selain itu, insentif keempat dari segi tempoh keputusan dasar kerajaan negeri dalam masa dua minggu dari tarikh pembentangan dalam Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Negeri Perlis dan insentif seterusnya berkaitan pengurangan cukai taksiran sebanyak 10 peratus untuk sektor pergudangan dan pembuatan dalam tempoh dua tahun bagi pelabur baharu.

“Insentif keenam membabitkan pengurangan bayaran lesen bagi sektor pergudangan dan pembuatan dalam tempoh dua tahun untuk pelabur baru,” katanya.

Beliau menjawab soalan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) mengenai pakej atau insentif ditawarkan kerajaan negeri bagi menarik pelabur ke Perlis, pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang), Azlan berkata walaupun pembangunan fizikal Jeti Bersepadu Kuala Sanglang belum dimulakan, namun aspek berkaitan peraturan yang perlu dipatuhi dan kelulusan pembangunan jeti itu telah pun diperoleh.

“Pelaksanaan Pembangunan Jeti Bersepadu Sanglang ini berkait rapat dengan projek Perlis Inland Port (PIP) yang mana projek pembangunan Jeti Kuala Sanglang ini akan dilaksanakan enam bulan selepas projek PIP dimulakan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.