COVID-19: Malaysia Rekod Kes Pertama Omicron, Libatkan Pelajar Dari Afrika Selatan

PUTRAJAYA, 3 Dis – Malaysia merekodkan kes pertama positif COVID-19 varian Omicron, membabitkan seorang pelajar dari Afrika Selatan yang menuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam sidang media perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini berkata pelajar perempuan berumur 19 tahun itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 Nov dan telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata individu itu telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan telah tamat menjalani tempoh kuarantin seorang diri selama 10 hari di kediaman yang disediakan pihak universiti.

Pelajar berkenaan disahkan positif bagi varian dibimbangi (VOC) itu pada 2 Dis.

Khairy berkata individu itu telah menerima vaksinasi lengkap serta tidak bergejala dan patuh kepada perintah yang dikeluarkan.

Menurutnya, pelajar terbabit telah lengkap menerima dua suntikan vaksin Pfizer pada 29 Sept lepas sebelum pulang ke Afrika Selatan bagi melawat keluarganya.

Beliau berkata nilai ‘Cycle Threshold’ (CT) pelajar terbabit adalah 26.68 berdasarkan ujian sampel yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan pada 20 Nov lepas.

Khairy berkata individu terbabit mematuhi arahan kuarantin di rumah dan tiada rekod pergerakan dikesan dilakukan pelajar terbabit melalui aplikasi MySejahtera.

“Tiada rekod ‘check in’ atau ‘check out’ ke mana-mana premis (dalam tempoh kuarantin),” katanya.

Khairy berkata pelajar itu menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti untuk ke Ipoh dan lapan individu yang terdiri daripada pemandu, penumpang bas serta rakan serumah pelajar terbabit telah melalui ujian saringan kontak rapat serta kuarantin wajib.

“Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif. Mereka tidak mengalami sebarang simptom,” katanya serta menambah kesemua mereka termasuk pelajar terbabit akan menjalani ujian saringan sekali lagi hari ini.

Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksanakan pengesanan kontak rapat melibatkan penumpang pesawat yang dinaiki pelajar terbabit serta beberapa lokasi di KLIA yang dipercayai dikunjungi pelajar itu berdasarkan rekod aplikasi MySejahtera.

Beliau meminta orang ramai agar tidak panik dengan pengesanan varian itu dan perlu kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan kesihatan awam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.