Kelancaran Persidangan Cawangan Bukti UMNO Kemas, Tersusun Organisasinya – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kelancaran serta kesungguhan cawangan-cawangan UMNO pelbagai peringkat yang masing-masing telah melaksanakan persidangan mereka membuktikan bahawa parti berkenaan tersusun kemas organisasinya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada akar umbi seluruh negara yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing yang berakhir semalam, beliau yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Lenggong seterusnya menambah perkembangan tersebut menunjukkan sifat demokratik di dalam parti tersebut.

“UMNO kekal parti paling tersusun organisasinya. Sangat demokratik sifatnya. Sesungguhnya sehingga kini tiada parti di negara ini mampu menandingi UMNO. Persidangan kita yang merangkumi lebih 22 ribu cawangan berjalan dengan baik. Inilah bukti yang nyata dan jelas menggambarkan kedudukan UMNO itu sendiri,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) itu seterusnya menambah pada minggu depan pula, 190 UMNO bahagian akan mula bersidang dengan masing-masing akan mengadakan mesyuarat mereka dan itulah platform terbaik untuk masing-masing melontarkan pandangan dan sebagainya.

“190 UMNO bahagian pula akan mula bersidang mulai 11 November 2021 ini dimulai dengan sayap dan 18 Disember pula mesyuarat bahagian dan Januari 2022 Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.

“Keadaan ini mesti kita kekal dan perkukuhkan lagi. Namun lebih penting, kekuatan ini mesti kita terjemahkan dengan mencipta kemenangan di PRU15 (Pilihan Raya Umum 15) akan datang. Bersedialah daripada sekarang. Insya-Allah,” ujarnya.

Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara yang telah melunaskan tanggungjawab melaksanakan mesyuarat peringkat Cawangan yang tarikhnya berakhir semalam.

Katanya, lebih 21,000 Cawangan UMNO di seluruh negara telah selesai mengadakan persidangan.

Dilaporkan, dalam mesyuarat MKT UMNO pada September lalu telah ditetapkan bahawa tarikh persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO dilaksana bagi tahun 2021 bermula 15 Okt dengan tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah bersetuju mengenai penangguhan Pemilihan Parti UMNO sehingga 29 Disember 2022.

Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan pada 11 dan 12 Disember 2021 serta Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bakal berlangsung serentak pada 18 Disember 2021.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 dijadualkan akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022.  – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.