Sabah Teroka Peluang Jadi Pengeluar Hidrogen Menjelang 2025 – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 29 Nov – Kerajaan Negeri Sabah sedang meneroka peluang untuk menjadi pengeluar hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025 melalui anak syarikatnya Smart Sabah Corporation Sdn Bhd, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Pengerusi Smart Sabah Corporation, berkata syarikat itu telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) pada 9 November lalu bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu.

Katanya pembangunan projek itu dijangka bermula tahun depan di tapak seluas 50,000 hektar di negeri ini dan beberapa kawasan cadangan sedang dikenal pasti kesesuaiannya antaranya di Kalabakan, Pulau Layang-Layang di Kudat, serta Pulau Kelumpang di Tawau.

“Sabah telah dikenal pasti sebagai antara kawasan yang dapat mengeluarkan gas hidrogen dengan banyak kerana kelembapan udara kita lebih baik berbanding negara luar seperti Eropahyang hanya 28 peratus. Di Sabah kita jangka 60 hingga 70 peratus kelembapan udara untuk kita hasilkan hidrogen itu nanti.

“Ini suatu teknologi baharu yang boleh mendatangkan sumber pendapatan kepada Sabah dengan skala besar dan berbentuk teknologi hijau yang boleh menjaga alam sekitar di negeri ini…teknologi ini ada di negara kita, teknologi dari Malaysia dilaksanakan MGTC,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bung Moktar berkata antara projek utama yang terlibat adalah Pembangunan Solar Berskala Besar (LSS) untuk Sistem Pengeluaran Hidrogen, Pembangunan Pengeluar Tenaga Hijau Bebas 3,500 megawatt, dan Pembangunan Sistem Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC).

Beliau berkata lebih banyak projek melibatkan usaha itu sedang dirancang dan projek-projek tersebut dijangka membawa pulangan tidak kurang RM25 billion kepada Negeri di Bawah Bayu itu dan dilihat mampu mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor untuk rakyat negeri ini.

Sehubungan itu katanya kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur dan pemain industri dari dalam atau luar negara untuk berkerjasama meneroka peluang tersebut.

“Setakat ini pembeli (hidrogen) sudah ada sebenarnya tetapi kita tidak jual semuanya kerana kita juga perlu untuk jana tenaga elektrik di negeri ini…pelabur Jepun dan Korea sudah menyatakan minat untuk berkerjasama dalam projek ini dan ada juga dari Eropah seperti Jerman dan Switzerland,” katanya.

Beliau berharap Sabah dan Sarawak dapat membangunkan secara bersama pengeluaran hidrogen ini kerana dua-dua negeri itu memiliki kawasan yang amat sesuai untuk industri tersebut, dan seterusnya dapat memberi manafaat kemakmuran ekonomi kepada penduduk. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.