Melaka Cadang Perluas Kursus FIBK Kepada Pengusaha Pusat Jagaan Kanak-Kanak

MELAKA, 29 Nov – Kerajaan Melaka bercadang memperluas kursus Sijil Fasilitator Insan Berkeperluan Khas (FIBK) kepada pengusaha dan guru pusat jagaan, taska atau tadika di negeri itu bagi mempertingkatkan kemahiran mengurus serta mendidik kanak-kanak.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka dalam masa terdekat untuk dipertimbang.

“Kita melihat sijil FIBK ini agak penting terutama kepada pengusaha dan guru untuk mempertingkatkan kemahiran dan ilmu mereka dalam berdepan dengan anak berkeperluan khas yang semestinya memerlukan pendekatan serta perhatian berbeza berbanding anak normal.

“Pelaksanaan kursus ini akan melibatkan kerjasama antara agensi atau jabatan kerajaan dengan syarikat swasta seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Ashikin Holdings Sdn Bhd yang mengelolakan kursus ini buat kali pertama di Melaka,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian Sijil FIBK di Yayasan Toh Puan Zurina di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah MARA Melaka Nurul Azmi Johari dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka Burhanuddin Bachik.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata ibu bapa yang mempunyai anak bekeperluan khas diminta menumpukan pendidikan anak dengan menghantar ke pusat jagaan atau taska yang menawarkan khidmat jagaan golongan kurang upaya.

“Pendidikan awal bagi anak berkeperluan khas amat penting dan ia akan memberi kesan kepada proses tumbesaran mereka selain meningkatkan kemahiran mengurus diri sendiri pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Nurul Azmi berkata kursus tersebut merupakan satu daripada program pembangunan usahawan yang memberi tumpuan kepada pengusaha wanita pusat jagaan anak berkeperluan khas melibatkan peruntukan hampir RM40,000.

Beliau berkata kursus julung kali melibatkan 20 peserta itu bertujuan memastikan pengusaha pusat jagaan dan guru yang mendidik anak berkeperluan khas mempunyai sijil khusus sekali gus mendapat pendedahan untuk mengurus dan mengendali golongan tersebut.

“Kita harapkan kursus ini akan terus dilaksanakan tahun hadapan agar lebih banyak pengusaha dan pendidik pusat jagaan dan anak berkeperluan khas mendapat manfaat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.