Harga Makanan Yang Naik

Sepanjang 2021 negara mengalami kenaikan harga makanan antaranya ayam, telur ayam, minyak masak, roti dan sayur-sayuran.

Sebagai contoh harga ayam proses meningkat dengan mendadak sepanjang 2021. Ia mencecah RM10 sekilogram walau pun sebelum ini, ia hanya sekitar RM7-RM8 sekilo.

PUNCA?

Seperti mana yang diterangkan oleh kementerian dan agensi berkaitan, punca utama kenaikan harga ayam adalah kerana kenaikan harga dedak menyumbang kepada kenaikan harga ayam hidup di peringkat penternakan kemudiannya meningkatkan harga ayam proses di peringkat borong dan juga runcit yang kita beli di pasar-pasar.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Malaysia mengimport hampir 100% keperluan membuat dedak dari luar negara. Tahun lepas sahaja kita mengimport 3.85 juta tan jagung dengan nilai RM3.3 bilion dan 732 ribu tan kacang soya dengan nilai RM1.3 bilion dari negara pengeluar seperti Argentina dan Brazil.

Kebergantungan Malaysia kepada pengimportan komoditi jagung dan kacang soya memberi kesan kepada harga ayam apabila harga jagung naik meningkat mendadak terutamanya sejak wabak Covid-19 melanda, sebelum ini sekitar USD300-USD400 sepanjang tahun 2 lepas meningkat sehingga setinggi USD800 sekarang sekitar USD600. Sama juga kacang soya, sebelum ini sekitar USD900-USD1,000, tahun ini pernah mencecah USD1,700 dan sekarang kekal tinggi pada USD1,200.

Antara punca kenaikan harga komoditi ini adalah kerana cuaca kemarau berpanjangan yang mengurangkan pengeluaran jagung dan kacang soya di ladang-ladang ditambah pula dengan permintaan yang melonjak selepas sektor ekonomi dibuka di seluruh dunia terutamanya permintaan yang tinggi daripada negara pengguna seperti USA dan China. Apabila penawaran (supply) terhad, dan permintaan (demand) meningkat, kita semua tahu apa yang akan berlaku – harga meningkat.

Begitu juga dengan harga gandum yang merupakan ramuan utama untuk membuat roti, harga komoditi ini juga meningkat mendadak jika sebelum ini sekitar USD500-USD600 kini sekitar USD850 satu peningkatan yang signifikan yang menyebabkan kilang-kilang roti terpaksa menaikkan harga borong dan runcit untuk menampung kos menghasilkan roti.

Kita perlu faham bahawa harga komoditi antarabangsa termasuk komoditi yang dihasilkan di dalam negara kita adalah mengikut kuasa pasaran dan di luar kawalan Kerajaan. Sama seperti harga minyak mentah antarabangsa untuk menghasilkan petrol dan diesel, ia bergantung kepada supply dan demand di dalam pasaran antarabangsa. Secara kebetulan sepanjang 2017 sehingga sebelum Covid-19 melanda pada tahun 2020 harga-harga komoditi ini stabil dan kekal rendah dan sejak setahun kebelakangan ini.

Sama juga dengan harga sayur-sayuran yang meningkat dengan begitu mendadak sekali. Faktor bermusim seperti cuaca hujan yang mempengaruhi pengeluaran sayur-sayuran seperti di Cameron Highlands. Terdapat juga komponen import yang meningkat harganya iaitu baja yang meningkatkan harga untuk menghasilkan sayur-sayuran. Disamping itu Malaysia juga mengimport sayur-sayur tertentu daripada luar untuk memenuhi keperluan pengguna contohnya cili dan kubis bulat yang mana lebih 65% diimport dari negara seperti Thailand yang juga mengalami musim tengkujuh dan hujan berlarutan yang mengganggu pengeluaran sayur.

—-

LANGKAH JANGKA PENDEK

Semua ini bukanlah bermakna Kerajaan tidak mempunyai langsung kuasa untuk campurtangan dengan melakukan intervensi membantu mengurangkan beban pengguna yang terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barangan pengguna seperti ayam, telur, minyak masak, roti dan sebagainya.

Pertamanya, sebagai langkah jangka pendek, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan RM262 juta untuk membantu kos petani dan peladang yang terkesan dengan kenaikan harga input – dengan sasaran ia akan mampu mengawal kenaikan harga runcit kepada rakyat.

Selain itu, penguatkuasaan yang lebih ketat juga wajar dilaksanakan pada saat ini untuk memastikan tiada orang tengah yang mengambil kesempatan menaikkan harga dan marjin keuntungan sambil menyalahkan petani dan peladang.

Saya yakin usaha-usaha ini dan kemungkinan lain sedang dibincangkan oleh MAFI, MOF dan KPDNHEP untuk keputusan dan tindakan segera.

Keduanya, seperti yang dicadangkan oleh KPDNHEP, Kerajaan boleh memberi subsidi input di peringkat pengeluaran contohnya subsidi harga dedak kepada penternak untuk mengurangkan kos menternak ayam. Di dalam Bajet 2022, Kerajaan telah pun mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.5 bilion subsidi dan insentif untuk subsidi benih dan baja.

Walaubagaimanapun langkah-langkah ini hanya untuk jangka pendek dan tidak menyelesaikan masalah asas struktur – iaitu kadar import input yang terlalu tinggi.

LANGKAH JANGKA PANJANG

Matlamat utama sudah tentunya mengurangkan kebergantungan import tidak kira import bahan mentah input seperti jagung dan baja atau import barangan siap seperti sayur-sayuran.

Contohnya dedak – Malaysia perlu memperhebat usaha sedia ada untuk menghasilkan dan menggunakan produk alternatif sebagai dedak. Pada tahun 2015, MPOB dan UPM mula menghasilkan produk dedak berasaskan isirong sawit. Usaha seperti ini wajar diperhebat. Malaysia pengeluar sawit dan jika tumpuan diberi serta R&D mendalam dilakukan, kelebihan ini perlu diterokai. Kebergantungan kepada kacang soya dan jagung akan berkurang jika alternatif seperti isirong sawit boleh digunakan sebagai dedak.

Kerajaan juga melihat bagaimana untuk menggalakkan pertanian sayur yang mempunyai nisbah kebergantungan import yang tinggi seperti cili dan kobis bulat. Dalam Bajet 2022, Kerajaan mengumumkan insentif di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan Negara dan Program Galakan Usahawan Tekno PKS bagi meningkatkan hasil pengeluaran pertanian. Kerajaan juga bercadang membenarkan tanah-tanah terbiar dan tidak dibangunkan yang dimiliki Kerajaan Persekutuan dan juga tanah rizab Melayu untuk disewakan kepada golongan belia dan berpendapatan rendah bagi projek pertanian untuk meningkatkan hasil pertanian di samping memberi peluang mereka menjana pendapatan dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan negara kepada import bahan makanan.

Insentif-insentif lain seperti program pembiayaan berjumlah RM1.25 bilion di bawah Agrofood Facility yang disediakan oleh Agrobank dan BNM melengkapkan usaha jangka panjang Kerajaan untuk menstabilkan harga makanan dengan memastikan pembekalan yang mencukupi di dalam pasaran.

Disamping itu, jika semua ini dilihat terlalu perlahan, Kerajaan melalui syarikat pelaburan milik Kerajaan boleh melabur di dalam penghasilan baja di dalam negara. Jika tiada teknologinya, bolehlah melabur di dalam syarikat-syarikat pengeluar baja di luar negara untuk memindahkan teknologi ke dalam negara di samping memastikan bekalan baja dari luar negara tidak putus dan harganya berpatutan.

Kebergantungan yang tinggi kepada import membawa risiko kepada negara seperti halangan eksport daripada negara pengeksport yang mahu memberi keutamaan kepada rakyat di negara mereka seperti mana berlaku tahun lepas apabila Vietnam menghalang daripada beras mereka untuk dieksport ke negara luar.

Jadi dasar-dasar Kerajaan yang diumumkan dan dilaksanakan adalah demi Keselamatan dan Kedaulatan Makanan (Food Security and Sovereignty) untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi pada harga yang berpatutan bagi menampung keperluan pengguna seperti kita semua.

Yang terakhir sudah tentu penyelesaian terbaik adalah menyediakan pekerjaan dan meningkatkan pendapatan isi rumah dan rakyat di negara kita untuk menampung kenaikan kos sara hidup. Dengan Inisiatif Jamin Kerja yang diumumkan, 600 ribu peluang pekerajaan akan diwujudkan termasuk insentif peningkatan kemahiran yang boleh membantu rakyat meningkatkan kemahiran dan seterusnya pendapatan mereka. Disamping itu Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sedang menjalan sesi libat urus bersama pemegang taruh untuk menaikkan gaji minimum tahun depan (2022).

Kenaikan harga makanan perlu ditangani untuk mengurangkan beban pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terkesan teruk dengan krisis ekonomi akibat wabak Covid-19. Harga kawalan dan subsidi adalah langkah jangka pendek sebagai “stop-gap measures” tetapi isu kenaikan harga ini hanya boleh diselesaikan melalui pengurangan kebergantungan import dan juga meningkatkan pendapatan isi rumah yang memerlukan komitmen, dasar dan pelaburan oleh Kerajaan.

 

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.